Parti Bangsa Malaysia fleksibel sertai gabungan politik

Parti Bangsa Malaysia fleksibel sertai gabungan politik

ZURAIDA Kamaruddin (depan-empat kanan) bersama barisan pemimpin PBM Sabah di Kota Kinabalu semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Bangsa Malaysia (PBM) bersikap terbuka bagi menyertai mana-mana gabungan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden pengganti, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sebagai sebuah parti yang kecil, mereka perlu membentuk gabungan untuk tampil lebih kuat pada pilihan raya akan datang.

“Biarpun dari segi kekuatan, kita sama bagus dengan parti lain namun, kita perlu membentuk gabungan.

“Kita mempunyai wakil rakyat dan kekuatan yang baik jadi, kita boleh bergerak ke mana-mana (gabungan) pada bila-bila masa.

“Memandangkan kita mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi jadi, kita fleksibel untuk bergerak kepada mana-mana arah. Namun, kita akan menguruskan perkara ini apabila tiba masa ke tahap itu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas tentang tindakan PBM sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak menerima penyertaan mereka sebagai parti komponen BN.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, pada masa ini PBM masih memberi fokus untuk menyertai BN dan akan terus menyokong kerajaan memerintah hari ini.

Menurut beliau, fokus PBM adalah untuk memperkukuhkan parti menerusi siri jelajah di Semenanjung Malaysia dan seterusnya mereka akan datang ke Sabah untuk memperkenalkan parti ini.

Zuraida berkata, PBM mahu menyumbang kepada pembangunan negara untuk membentuk sebuah kerajaan dan negara yang lebih baik.

Beliau berkata, pada PRU-15, PBM hanya akan bertanding di kawasan yang disandang oleh wakil rakyat mereka sahaja.

Mengulas lanjut katanya, kepimpinan PBM Sabah yang rasmi akan diumumkan selepas persidangan agung tahunan pada 1 Oktober ini.

Kepimpinan protem sedia ada akan distruktur semula dan barisan kepimpinan yang rasmi akan diumumkan selepas persidangan tersebut.

Lantikan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi juga masih dalam barisan protem dan bukan dalam senarai kepimpinan yang rasmi. – UTUSAN

Ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN