JOHOR BAHRU:Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mempersoalkan kenapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad belum dipanggil pihak polis berkaitan isu projek kapal tempur pesisir (LCS).
Menurutnya, Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir telah membuat laporan polis sebelum ini tentang isu tersebut, namun hingga kini Ahli Parlimen Mersing itu belum dipanggil untuk memberi keterangan.
“Ini tak nampak cantik di mata rakyat kerana Akmal telah membuat laporan polis sebelum ini, tetapi Dr. Latiff tidak dipanggil dan tidak ada sebarang reaksi ataupun kenyataan daripada polis.
“Tetapi sebaik sahaja pegawai khas menteri berkenaan membuat laporan polis, hari seterusnya terus ada kenyataan rasmi daripada polis. Ini boleh mengubah pandangan rakyat kepada PDRM,” katanya diminta mengulas laporan polis yang dibuat seorang pegawai khas Dr. Abdul Latiff, kelmarin.
Rafizi ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri ( MPN) Johor di Ibu pejabat PKR negeri, di sini malam tadi yang turut dihadiri Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR memberitahu, setakat ini dia belum dihubungi pihak polis dan bersedia untuk memberi kerjasama untuk dirakam keterangan.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut menggesa supaya ahli politik tidak campur tangan dalam isu tersebut memandangkan ia membabitkan pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya faham PDRM ini di bawah Kementerian Dalam Negeri dan menterinya pula ialah Setiausaha Agung Bersatu. Dan saya tahu Bersatu tengah panik sebab tiba-tiba isu kapal ini dikaitkan dengan mereka kerana yang dinamakan terlibat ini ialah salah seorang menteri mereka.
“Sementara saya mengalu-alukan diri dipanggil ke balai polis, saya harap dia (Abdul Latiff) juga menyusul dipanggil untuk beri kenyataan di balai polis. Itu baru adil, barulah rakyat akan merasa yakin dengan pihak yang menguatkuasakan undang undang di negara kita ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor bukan tiket baginya untuk bertanding di negeri ini seperti diuar-uarkan sesetengah pihak sebelum ini.
“Saya tidak akan bertanding di Johor, itu adalah muktamad. Keputusan pimpinan pusat melantik saya sebagai Pengerusi MPN Johor untuk mengetuai PKR Johor, bukannya untuk saya bertanding.
“Cuma dalam kalangan pimpinan pusat yang lain, saya mempunyai rekod lebih lama bekerjasama dengan pimpinan dan cabang di negeri ini. Jadi, itu memudahkan kita untuk menyelaraskan kempen PRU15 dari peringkat pusat ke Johor,” katanya. – UTUSAN










