ALOR SETAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menyentuh secara langsung isu berkaitan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Pas Ke-68, hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Hadi pada masa sama berkata, Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.
Katanya, Pas bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak dengan pendekatan yang berpecah sebelum ini.
“Seterusnya menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera. Hal ini sangatlah penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam.
“Kerjasama dalam perpaduan ini ada sempadannya, hanya dalam perkara kebaikan dan taqwa. Seperti perpaduan umat berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan adil kepada semua, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah kembali ke pangkal jalan,” katanya di sini hari ini.
Malah, Abdul Hadi menegaskan, mereka tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf serta taubat.
“Pas juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip adalah konsep ta‘awun yang salah dan berdosa.
“Justeru, Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran,” katanya.
Oleh demikian, beliau berkata, Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat diberikan mandat untuk meneliti setiap perkara berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi serta pasca pilihan raya tersebut.
“Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya demi memastikan Islam terus memimpin, termasuk urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi PRU15,” katanya. – UTUSAN