Muhammad Aqil Iskandar derita penyakit buah pinggang bocor

Muhammad Aqil Iskandar derita penyakit buah pinggang bocor

NOOR Athirah Abdullah memangku anaknya Muhammad Aqil sambil diperhatikan Mohd. Ashraf dan anak-anak mereka yang lain ketika ditemui semalam. – UTUSAN/NOR SHAFAWAYI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bayi berusia 18 bulan tidak lagi aktif selepas menderita penyakit sindrom nefrotik atau buah pinggang bocor empat bulan lalu hingga menyebabkan mata dan badannya membengkak dan perlu bergantung kepada ubat Prednisolone.

Muhammad Aqil Iskandar Mohd. Ashraf, dikesan menghidap penyakit berkenaan selepas ibunya menyedari bengkak di kedua-dua belah mata bayi itu tidak surut, malah bahagian buah zakar dan perutnya turut mengalami bengkak air.

Ibunya, Noor Athirah Abdullah, 23, berkata, pada mulanya dia dan suami, Mohd. Ashraf Mohd. Shah, 24, menyangka anak bongsunya itu digigit semut dan segera membawanya ke hospital sebelum disahkan menghidap masalah kebocoran buah pinggang dan dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

“Muhammad Aqil telah ditahan di wad HTJ selama seminggu dan disahkan terdapat masalah protein dalam air ken­cing atau buah pinggang bocor.

“Sejak dari itu, Muhammad Aqil perlu bergantung kepada ubat Prednisolone memandang­kan tiada rawatan lain boleh dibuat kerana anaknya masih kecil,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Garden Avenue, Seremban 2 di sini semalam.

“Ini antara ikhtiar saya supaya Aqil dapat sihat semula seperti biasa walaupun kos perubatan agak mahal antara RM400 ke RM500 sekali rawatan,” katanya dari segi pemakanan Muhammad Aqil tidak boleh minum terlalu banyak susu.

Jelas Noor Athirah, dia dan suaminya yang bekerja makan gaji terpaksa berhenti kerja bulan lalu apabila terlalu kerap mengambil cuti selepas anak­nya diuji dengan masalah kesihatan itu.

“Sekarang saya hanya duduk di rumah untuk memberi sepenuh perhatian kepada Muhammad Aqil selain mengambil tempahan membuat kuih, manakala suami bekerja sebagai penghantar barang.

“Dari segi kewangan memang sekarang perlu utamakan apa yang perlu terutama keperluan anak-anak seperti lampin, susu dan barang makanan” katanya yang mempunyai anak berusia lima tahun hingga 18 bulan.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Noor Athirah di talian 018-9553236 atau menerusi nombor akaun bank CIMB 7073181380 (Noor Athirah). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN