KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) memperkukuh ruang pasaran eksport usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bimbingannya ke pasaran luar negara, selain peluang meneroka perdagangan ke lebih 42 negara yang terlibat dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia kali ke-18 (Mihas 2022).
Ketua Setiausaha Mafi, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, Mafi berperanan menyediakan peluang penerokaan produk ke pasaran luar negara kepada usahawan melalui bimbingan agensi dibawahnya.
Katanya, bimbingan membabitkan tatacara pengeksportan produk agro-makanan, pemilihan produk yang berpotensi, selain memastikan produk usahawan memenuhi syarat kemasukan dan bekerjasama bersama bagi mengatur sesi padanan perniagaan diantara usahawan Malaysia dengan pengimport, pasaraya atau outlet peruncitan yang berkaitan.
“Dalam usaha meneroka pasaran luar negara Mafi juga turut menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan eksport kepada usahawan PKS atau bakal pengeksport, menyediakan platform bagi penerokaan, pengukuhan dan peluasan ruang pasaran eksport bagi produk agromakanan.
“Selain itu Mafi turut menyediakan geran naik taraf pembungkusan dan logistik eksport bagi membantu usahawan agromakanan tempatan merealisasikan tempahan eksport yang di terima mereka,” katanya hari ini.
Haslina hari ini melancarkan Pavilion Mafi @MIHAS 2022 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), di sini.
Bagi edisi MIHAS 2022, Mafi melalui usahawan bimbingan dibawahnya melibatkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), dan Bio Economy Corporation (BEC) menghantar penyertaan sebanyak 20 buah syarikat dengan tambahan tiga pempamer daripada AgroBazaar Online, MARDI dan juga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan produk baharu daripada Syarikat Nuha Foods Sdn. Bhd.
Syarikat itu ditubuhkan pada 2014, bermula dari rumah dan kini beroperasi di Melaka Halal Hub telah berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Jepun, Singapura dan beberapa negara arab seperti Qatar, Kuwait dan Arab Saudi.
Turut dilancarkan adalah produk terbaru Agri Dagang Sdn. Bhd. iaitu stok ikan bilis dan ayam dalam bentuk kiub dan juga serbuk.
Syarikat itu ditubuhkan pada tahun 2017 merupakan sebuah syarikat pengeluar bahan masakan berasaskan rempah ratus. – UTUSAN










