KOTA TINGGI: Mayat pemancing yang hilang selepas terlibat dalam kemalangan dua buah bot di Kampung Sungai Sembayong kelmarin, ditemukan tersangkut pada pukat bot nelayan petang semalam.
Mayat Mohd. Fauzi Husin, 33, dijumpai pada pukul 3.20 petang kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir mangsa tercampak.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata, operasi hari kedua itu melibatkan pencarian yang dibahagikan kepada dua pasukan dengan menggunakan dua unit bot aluminium.
“Operasi pencarian dilakukan dalam radius 400 meter dari kawasan mangsa dipercayai jatuh dengan menggunakan teknik surface searching dan selaman.
“Mangsa telah dijumpai tersangkut pada salah satu pukat bot nelayan tempatan kira-kira pada jarak 300 meter dari lokasi terakhir.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Dalam kejadian itu seorang lagi mangsa cedera telah dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili menggunakan kenderaan awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam kejadian petang kelmarin, pelanggaran dua buah bot mengakibatkan mangsa yang sedang dalam perjalanan pulang daripada memancing tercampak ke sungai.
Dua daripada pemancing berusia 38 dan 29 tahun diselamatkan oleh orang awam manakala mangsa dilaporkan hilang. – UTUSAN










