SUBANG JAYA: Urus tadbir baik dan perancangan serta pembangunan yang mesra alam merupakan antara lima prinsip yang digariskan supaya Subang Jaya menjadi bandar raya yang bertenaga lagi mampan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Datuk Johary Anuar berkata, tiga lagi prinsip adalah pembangunan sosio ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan
komuniti, pengangkutan dan akses untuk kemudahsampaian penduduk serta perancangan yang inklusif dan saksama kepada masyarakat.
Katanya, MBSJ adalah satu-satu Bandaraya di Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan dan dianugerahkan dengan 2020 UN-HABITAT SCROLL OF HONOUR AWARD oleh pihak UN-Habitat bagi inisiatif program pemberdayaan komuniti bagi menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang mampan dan berdaya tahan.
“Kaedah yang telah diambil adalah dengan menggunakan pendekatan holistik dan bersepadu dalam menyediakan perumahan mampu milik dan pemerkasaan komuniti.
“Dengan perlaksanaan Projek “Perumahan Untuk Semua: Masa Depan Bandar Yang Lebih Baik” bagi tempoh 10 tahun jelas menunjukkan komitmen MBSJ bagi mengutamakan pembangunan komuniti.
“Sehingga kini terdapat 122 tapak telah dikenalpasti untuk dibangunkan bagi tujuan perumahan yang berkualiti dan persekitaran hidup yang lebih baik untuk masyarakat Subang Jaya,” katanya ketika berucap pada Seminar Pelan Tindakan Perubahan Iklim Bandaraya Subang Jaya, di sini.
Joharu berkata, bagi mencapai matlamat bandar raya bertenaga dan mampan, serta mengambil kira isu perubahan iklim, pihak MBSJ telah mengambil pendekatan Science- based Climate Action di mana asas perlaksanaannya adalah berlandaskan data saintifik dan dikira dengan menggunakan protokol antarabangsa.
Katanya, pihak MBSJ pada masa ini sedang giat menyediakan Greenhouse Gas Inventory Baseline secara keseluruhan ataupun city-wide mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh The Global Protocol for Community-Scale Greenhouse Gas Emission Inventories (GPC).
“Kaedah ini juga digunapakai didalam National Low Carbon Cities Masterplan yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) baru – baru ini.
“Secara umum perlu kita ketahui bahawa majoriti jumlah pelepasan gas rumah hijau dikawasan bandar adalah terhasil dari kegiatan komuniti seperti perniagaan, pengilangan, pengangkutan, kediaman dan guna tanah.
“Pelepasan gas rumah hijau daripada aktiviti Majlis adalah sangat kecil. Oleh yang demikian pihak MBSJ telah merumuskan kaedah yang terbaik untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di kawasan Subang Jaya adalah dengan pendekatan Private – driven Climate Action,” katanya.
Pihak MBSJ juga kata beliau, berhasrat untuk menjadi Bandaraya Net Zero Carbon Emissions seawal tahun 2050 seiring dengan matlamat bandaraya – bandar raya lain di dunia dan juga hasrat negara seperti yang telah sampaikan oleh Perdana Menteri baru – baru ini iaitu hasrat Malaysia untuk mencapai Pelepasan Sifar Bersih Karbon menjelang 2050. – UTUSAN