Letak SPRM bawah Parlimen, salah guna kuasa ahli politik rendah

Letak SPRM bawah Parlimen, salah guna kuasa ahli politik rendah

KHOO POAY TIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hasrat meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen seperti dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini tidak akan menyebabkan agensi itu terpaksa mengikut polisi dan arahan ditetapkan ahli politik.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, hal ini kerana peranan Parlimen adalah menyemak dan imbang, serta memantau isu-isu pentadbiran negara, termasuklah tugas pembanterasan rasuah yang diamanahkan kepada SPRM.

Justeru jelas beliau, peranan Parlimen kelak bukan memberi arahan kepada SPRM, seperti mana dibayangkan oleh Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

“Itu isu operasi, iaitu di bawah bidang kuasa SPRM. Di Parlimen, SPRM dipantau melalui sesebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh ahli Parlimen daripada pelbagai parti. 

“Jawatankuasa biasanya ada tujuh hingga sepuluh ahli Parlimen yang bertugas separa bipartisan, maka risiko untuk penyalahgunaan kuasa adalah rendah,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, SPRM terbuka terhadap cadangan supaya agensi itu diletakkan di bawah Parlimen seperti dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini.

Bagaimanapun, Azam mengingatkan, keputusan itu mungkin akan menyebabkan SPRM terikat atau terpaksa mengikut polisi dan arahan yang ditetapkan oleh ahli politik.

Sedangkan dalam masa sama ujar beliau, terdapat pihak lain yang mahukan SPRM terus kekal bebas daripada tekanan politik.

Tambah Poay Tiong, meskipun kini sudah terdapat enam badan bebas memantau SPRM termasuklah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, namun beliau difahamkan bahawa Azam didakwa enggan hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Tidak terlupa juga, Ahli Panel Perundingan SPRM, Edmund Terence Gomez telah meletak jawatan awal tahun ini, kerana mendakwa panel tersebut gagal dan tidak mahu menyiasat isu pemilikan saham membabitkan Azam. Jadi apa pemantauan yang dimaksudkan oleh Azam?,” soalnya.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN