MENYUSURI jalan ke hujung Pantai Sri Tujuh di Tumpat, Kelantan, tersergam sebuah restoran unik terapung di permukaan air yang dibina sejak enam tahun lalu.
Berlatarkan dekorasi rumah kampung nelayan, Restoran Laguna Ikan Bakar menjadi satu-satunya kedai makan rakit di kawasan ini yang dibina berasaskan pelampung tong biru yang kukuh menahan arus laguna.
Pemiliknya, Abdul Rahman Hamid, 56, berkata restoran itu adalah milik keluarga dari nostalgia kisah hidupnya yang bermula daripada laut.
“Dahulu saya seorang nelayan pesisir pantai, bergantung sepenuhnya kepada rezeki dari jaring dan bubu.

“Namun, beberapa tahun lalu saya beralih kepada projek penternakan ikan dalam sangkar yang akhirnya mencetuskan ilham untuk membuka restoran terapung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
RESTORAN IKAN BAKAR LAGUNA
SRI 7
Lokasi: Pantai Sri Tujuh, Tumpat, Kelantan
Tempahan: 012-951 868
Waktu Operasi: 2 petang – 10 malam (Tutup setiap Selasa)
Sajian: Pelbagai masakan berasaskan ternakan dalam sangkar air
Abdul Rahman memberitahu, bahan mentah bagi lauk-pauk berasaskan ikan, ketam dan udang dihidang segar terus dari air ke dapur.
“Kalau pelanggan pesan siakap bakar, saya akan terus sauk dari sangkar. Tak ada ikan simpan semalaman di peti. Kesegaran itu yang buat orang datang semula,” katanya.
Beliau menunjukkan sangkar-sangkar ikan yang berderet di tepi restoran, manakala isterinya, Lizawati Mohamad, 43, mengambil alih tugasan memasak, memastikan setiap hidangan keluar dari dapur dengan rasa asli dan aroma memikat.
Menurut Abdul Rahman, menu yang ditawarkan terdiri daripada pelbagai pilihan hasil laut termasuk siakap putih, siakap merah, tilapia air masin, kerapu, ketam nipah, sotong, lokan, tiram dan lala.
Kaedah masakan pula fleksibel mengikut selera pelanggan sama ada bakar kosong, bakar berempah, stim, tiga rasa, tomyam, goreng kunyit atau rebus serai.

“Ada pelanggan yang memilih ikan bakar kosong dihidang bersama air kicap limau, ada pula yang mahukan rasa pedas manis tiga rasa yang meresap hingga ke isi.
“Harga makanan di sini berasaskan timbangan. Antara harga semasa – siakap putih RM45/kg, kerapu RM65/kg, tilapia air masin RM38/kg, ketam nipah RM85/kg dan sotong RM65/kg,” katanya.
Nasi putih hanya RM2 sepinggan, manakala lauk sampingan seperti kailan, tomyam, ayam goreng kunyit dan telur dadar turut disediakan sebagai penambah selera.

Keunikan Laguna Ikan Bakar, katanya, terletak pada lokasinya kerana dari meja makan, pelanggan boleh memerhati ikan-ikan berenang di sangkar sambil menghirup udara segar.
Pemandangan senja di sini juga cukup mempesona — langit berbalam jingga, pantulan cahaya keemasan di permukaan air dan sesekali perahu nelayan melintasi latar.
“Tidak hairanlah ramai pelanggan memilih untuk datang sekitar pukul 6 petang untuk menikmati makan malam bersama panorama matahari terbenam dan menyaksikan bulan di tirai langit,” katanya.
Abdul Rahman turut menyediakan kemudahan tempahan awal melalui telefon tanpa sebarang bayaran deposit bagi membolehkan pelanggan tiba dengan nasi dan lauk sudah terhidang di atas meja untuk pengurusan makan yang lebih pantas dan teratur.
Restoran ini beroperasi setiap hari dari pukul 2 petang hingga 10 malam, kecuali ditutup pada Selasa, dan hanya menerima pembayaran secara tunai. – UTUSAN










