Kuasa prerogatif pengampunan tidak wajar dilakukan sewenangnya

Kuasa prerogatif pengampunan tidak wajar dilakukan sewenangnya – Sultan Selangor

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sokongan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenangnya demi kepentingan pihak tertentu. 

Baginda bertitah, proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur diperuntukan mengikut Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

“Rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan tidak berasas atau mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes. 

“Sebarang tohmahan akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan menghakis keyakinan atau kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan.

“Ia juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa,” titah baginda menerusi kenyataan Istana Alam Shah Klang hari ini. 

Pada 5 September lalu, Al-Sultan Abdullah menitahkan kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak.

Titah Sultan Sharafuddin, Perlembagaan Persekutuan meletakkan martabat institusi kehakiman di tahap tinggi sebagai badan bebas dan berwibawa selain benteng terakhir yang perlu dipertahankan demi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Beta mengikuti rapat dan mengambil perhatian mengenai perkembangan isu berkaitan sistem pentadbiran keadilan negara sejak kebelakangan ini. 

“Rakyat diseru sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman yang merupakan teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia. 

“Selain itu, rakyat perlu mengambil maklum bahawa Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja seperti peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda. 

Tegas Sultan Sharafuddin, proses lantikan seseorang hakim yang perlu melalui proses teliti itu menunjukkan badan kehakiman berbeza dengan institusi kerajaan lain dan kepentingan peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

“Kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa para hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang bersandarkan fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas sebarang pengaruh tidak diingini.

“Seorang hakim telah mengangkat sumpah untuk mengamalkan kesamarataan, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan serta bebas dari segala bentuk tekanan dalaman dan luaran. 

“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan semua rakyat sama rata di sisi undang-undang. Ia bermakna rakyat tanpa mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang undang sama,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda turut mengingatkan pemimpin eksekutif sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak daripada sebarang cubaan mempengaruhi proses pentadbiran keadilan badan kehakiman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN