PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menggesa orang awam supaya tidak membeli dan menggunakan produk krim malam D Ains Beauty Empire.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana produk itu dikesan mengandungi racun berjadual seperti hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.
“Susulan itu, notifikasi produk kosmetik terlibat dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
“Produk mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, penggunaan produk mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini seperti kulit kemerahan, pedih, mengelupas serta berjerawat.
Tegas beliau, penjual dan pengedar produk kosmetik terbabit perlu menghentikan penjualan serta pengedaran dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dikenakan untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Pada masa sama, katanya, syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – UTUSAN