Khairuddin masih kekal bantu Pas - Utusan Malaysia

Khairuddin masih kekal bantu Pas

KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekas pemimpin Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menegaskan beliau masih kekal membantu parti itu dari belakang tabir untuk pelbagai program di seluruh Malaysia yang memerlukan sumber kewangan.

Menurutnya, perkara itu mungkin tidak disedari kerana beliau tidak meminta agar namanya disebut sebagai penyumbang kerana itu adalah amalannya sejak dahulu.

“Ada ahli dan petugas Pas yang pergi muktamar di Kedah baru-baru ini juga mendapat sumbangan dari saya sebagaimana amalan terdahulu ketika saya masih menjadi pemimpin utama parti itu.

“Saya sentiasa bersama dalam program kerajaan negeri Terengganu apabila dijemput kerana saya bukannya pembangkang kepada kerajaan negeri dan tentunya bersama dalam program melibatkan Kerajaan Persekutuan kerana saya adalah Ahli Parlimen Kuala Nerus.

“Saya juga sentiasa bersama dengan ahli-ahli Pas di Kuala Nerus apabila berkesempatan berprogram bersama dan peruntukan sebagai ahli Parlimen pula saya agihkan kepada semua rakyat tanpa mengira parti,” katanya dalam satu catatan di Facebook rasminya, kelmarin.

Walaupun sering menerima kecaman daripada ahli Pas di media sosial kerana sikapnya yang dilihat mesra UMNO dan sering mengkritik Pas, beliau menegaskan, dirinya tetap berlapang dada dan tidak pernah membenci atau marah kepada ahli Pas itu.

“Mereka sayangkan Pas dan perjuangan. Mereka adalah saudara seislam dan seperjuangan saya. Saya doakan mereka dikurniakan istiqamah dalam perjuangan Islam.

“Saya kekal berukhuwah dan bersaudara dengan semua pimpinan dan ahli Pas. Itulah yang diperjuangkan bersama dan mereka menyambutnya atas semangat persaudaraan dan perpaduan Islam,” katanya.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu juga menegaskan, beliau akan terus memperjuangkan cita-cita menyatukan umat Islam khususnya antara Pas dan UMNO sebagaimana keputusan Majlis Syura Ulama pada 2015 dan melalui perjanjian Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 14 September 2019.

“Saya sangat yakin bahawa suara penyatuan antara Pas dan UMNO adalah suara hati nurani 4.2 juta ahli bawahan dua parti itu.

“Ia adalah kekuatan buat umat Islam Malaysia dalam politik. Cuma kita perlu sentiasa berusaha meredakan ketegangan dan pertelingkahan yang terlihat di media. Itulah perjuangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN