ALOR SETAR: Di sebalik desas-desus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perdana Menteri mengingatkan kembali bahawa keutamaan kerajaan hari ini adalah untuk memulihkan negara dan ekonomi, tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha memulihkan negara hanya akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri ‘Keterangkuman’, ‘Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’ yang dimiliki.
“Bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, kuncinya ada di tangan kita semua, seluruh Keluarga Malaysia.
“Ini kerana, hanya dengan keharmonian sahaja kita mampu mendapatkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Oleh itu, saya mengajak seluruh Keluarga Malaysia untuk terus Teguh Bersama menjadi sebuah Keluarga Malaysia yang kalis cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Negeri Kedah yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, semua pihak kini dapat melihat pemulihan ekonomi negara melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang terus berkembang kepada 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, berbanding 5.0 peratus pada suku pertama.
Beliau berkata, graf pertumbuhan perdagangan borong dan runcit turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 44 peratus, dengan nilai RM132.8 bilion pada Jun ini.
“Jumlah perdagangan negara juga mencatatkan prestasi perdagangan tertinggi dalam sejarah, dengan peningkatan sebanyak 28.2 peratus kepada RM1.35 trilion, manakala lebihan dagangan eksport berbanding import adalah sebanyak RM123.13 bilion.
“Selain itu, prestasi pelaburan negara bagi tempoh enam bulan pertama 2022 adalah berjumlah RM123.3 billion yang mencipta 57,771 peluang pekerjaan melalui 1,714 projek,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah berkenaan, Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah sebanyak RM87.5 billion atau 71 peratus.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan berjumlah RM425 juta untuk menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Tiga Kemboja serta RM526 juta lagi untuk menaikkan taraf Jalan Persekutuan Gerik/Kupang/Lunas.
“Kerajaan juga akan menggantikan Jambatan Manjalara di Kota Setar yang telah uzur dengan jambatan baharu bagi memastikan lalu lintas lebih sistematik, untuk kemudahan Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengumumkan sebanyak RM1.13 bilion untuk 109 projek baharu dan sedia ada bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan di Kedah. – UTUSAN