GEORGE TOWN: Kes kecurian motosikal di Pulau Pinang didapati meningkat sebanyak 1.2 peratus sepanjang Januari hingga 8 September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, komponen motosikal-motosikal yang dicuri itu kemungkinan besar dijual semula sebagai alat ganti.

“Kes kecurian motosikal pada tahun 2021 (Januari hingga 8 September) direkodkan sebanyak 509 dan 515 pada tahun ini dalam tempoh sama, iaitu peningkatan sebanyak 1.2 peratus.
“Kita tidak dapat maklumat yang mengatakan motosikal ini dijual semula, namun satu rumusan dapat dibuat bahawa banyak komponen tertentu motosikal yang hilang ini dijadikan alat ganti,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurutnya, selain kes curi motosikal, kes kecurian kereta juga menunjukkan peningkatan iaitu sehingga 57.6 peratus.
“Kes curi kereta paling ketara iaitu 66 kes pada 2021 dan meningkat kepada 104 kes pada tahun ini.
“Bagi kes kecurian van, lori dan jentera berat pula, kes naik sehingga 140 peratus iaitu 10 kes pada 2021 dan 14 kes pada tahun ini. Jumlah keseluruhan kes kecurian kenderaan bagi tahun ini naik 9.9 peratus,” katanya. – UTUSAN