PETALING JAYA: Dua kertas siasatan membabitkan seorang pendakwah selebriti tanah air yang dikaitkan dengan kes jenayah amang seksual terhadap remaja lelaki telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.
Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, kertas siasatan yang dirujuk kepada TPR berkenaan membabitkan laporan yang dibuat mangsa di Selangor dan Negeri Sembilan.
Kata sumber, reman membabitkan pendakwah selebriti berkenaan di Negeri Sembilan telah tamat semalam.
“Dua kertas siasatan telah dirujuk kepada TPR,” kata sumber itu.
Mengulas lanjut, kata sumber, kira-kira tujuh laporan polis setakat ini dibuat terhadap pendakwah selebriti berkenaan.
Jelas beliau, kesemua laporan berkenaan telah dibuat di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Ada sebahagian laporan dibuat di Klang, Shah Alam dan Kajang. Selain ada juga mangsa tampil membuat laporan di Taman Tun Dr. Ismail dan Nilai, Negeri Sembilan. Kesemua mangsa yang membuat laporan membabitkan remaja lelaki berusia diantara 16 sehingga 18 tahun,” jelasnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, pendakwah selebriti berusia 40-an itu ditahan pada minggu lalu, susulan laporan dibuat beberapa mangsa membabitkan remaja sekolah.
Penceramah selebriti berkenaan dipercayai berkenalan dengan mangsa sewaktu mengikuti program sesi motivasi sebelum dipujuk dan dipaksa melakukan perbuatan amang seksual fizikal.
Difahamkan, mangsa kes amang seksual fizikal terbabit mendakwa diarah melakukan perbuatan tidak senonoh oleh suspek yang pernah menyertai program realiti agama sebelum ini.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, semua laporan polis dibuat oleh empat individu berusia lingkungan 17 hingga 18 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – UTUSAN