PUTRAJAYA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus mendesak kerajaan supaya campur tangan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan melibatkan warganegara Malaysia yang terperangkap di Myanmar, Laos dan Kemboja.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berdasarkan maklumat dan aduan yang diterima daripada keluarga mangsa, kira-kira 170 rakyat Malaysia kini menjadi mangsa kepada sindiket terbabit dan masih terperangkap di ketiga-tiga negara berkenaan.
Menurutnya, sindiket terbabit turut menuntut wang pampasan sekitar RM50,000 hingga RM100,000 daripada mangsa sekiranya mereka ingin dilepaskan atau dihantar pulang.
“Isu ini telah berlanjutan dan menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang amat tertekan dan sebilangan daripada mangsa gagal dikesan dan hilang jejak.
“Saya difahamkan terdapat mangsa yang membuat laporan kepada pihak berkuasa di sana, namun malangnya tiada tindakan atau pembelaan dan mereka beranggapan sindiket terbabit mempunyai pengaruh yang kuat di sana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama beberapa NGO lain menyerahkan memorandum untuk mendesak campur tangan kerajaan dalam isu tersebut kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Khaizulnizam Mohamad Zuldin.
Dalam pada itu, beliau turut merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya dapat melakukan siasatan dalam kadar segera mengenai perkara tersebut dan seterusnya bertindak menyalurkan bantuan kepada mangsa sindiket berkenaan.
Ini kerana beliau khuatir terdapat mangsa-mangsa yang bakal kehilangan nyawa sekiranya tindakan pantas tidak dilakukan untuk menyelamatkan mereka yang dikurung dan diseksa.
“Kita tidak mahu nasib yang menimpa seorang mangsa sindiket dari Ipoh, Perak yang telah meninggal dunia berlaku kepada mangsa-mangsa yang lain pula.
“Berdasarkan aduan daripada keluarga, mangsa-mangsa ini telah dikurung, diseksa selain dipercayai akan diambil organ mereka untuk dijual manakala wanita pula diugut untuk dilacurkan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan menegaskan isu penipuan tawaran pekerjaan tersebut sebagai jenayah tidak berperikemanusiaan.
“Ia bukan sahaja melibatkan penipuan malah paksaan untuk bekerja sebagai buruh paksa serta melibatkan jenayah perdagangan manusia.
“Saya juga menyeru kepada rakyat Malaysia supaya tidak tertipu dengan sindiket ini terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke bawah kerana ini adalah perkara benar, jangan kita suka-suka pergi ke negara seperti Laos, Myanmar atau Kemboja,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Tan, 56, merayu supaya dua anak lelakinya masing-masing berusia 30 dan 16 tahun dapat dibawa pulang segera ke Malaysia.
Jelas Tan dari Wangsa Permai, Kuala Lumpur itu, anaknya kini dipercayai berada di KK Garden, Myanmar dan telah dikurung selain tidak diberi makan selama beberapa hari.
“Sepatutnya mereka bekerja sebagai ‘waiter’ di Thailand tetapi telah diseludup masuk ke KK Garden,” ujarnya.
Berdasarkan carian di laman Google, KK Garden yang terletak di daerah Lashio di utara Myanmar itu dipercayai menjadi lokasi kepada aktiviti pemerdagangan manusia dimana organ-organ mangsa akan dijual kepada rangkaian antarabangsa melalui saluran tertentu. – UTUSAN