Kerajaan cadang bina pelabuhan di Sanglang

Kerajaan cadang bina pelabuhan di Sanglang

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) ketika hadir pada Majlis Perasmian projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa di Pulau Bunting, Yan, Kedah. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Kerajaan sedang mengkaji pembinaan sebuah pelabuhan agregat di Sanglang, Kubang Pasu dekat sini bagi mengendalikan kargo petroleum dan pukal sebagai nilai tambah kepada ekonomi negeri Kedah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek itu kelak secara tidak langsung akan membolehkan laluan penghubung jambatan darat atau ‘land-bridge’ antara selatan Thailand dan Malaysia diwujudkan.

“Sekiranya menjadi realiti, projek ini akan memberikan nilai tambah kepada ekonomi negeri Kedah termasuk meningkatkan keyakinan pelabur menanam modal di negeri ini dan juga wilayah utara amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan, di sini.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, selain pembangunan Pulau Bunting, kerajaan negeri juga menerima cadangan daripada Kumpulan Albukhary untuk memajukan sebuah pelabuhan laut dalam yang bersempadan dengan Perlis.

“Satu projek ‘land-bridge’ akan dibina ke Songkhla, Thailand yang akan menyingkatkan jarak dan masa perjalanan antara Selat Melaka di Timur dengan Teluk Siam di Barat.

“Sesungguhnya cadangan ini adalah amat strategik dan bakal menjadi projek ikonik yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara,” katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, kerajaan negeri amat mengharapkan sokongan dan kerjasama penuh kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan cadangan berkenaan sepenuhnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Bhd, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, mereka telah membuat kajian mengenai perkara itu dan mendapati Sanglang amat sesuai untuk dibangunkan pelabuhan terbabit.

“Salah satu kekuatan Kumpulan MMC adalah bidang pelabuhan yang mana MMC Ports amat dikenali di persada antarabangsa dan merupakan kumpulan yang kelapan terbesar di dunia.

“Kami yakin pelabuhan ini mempunyai potensi yang tinggi dalam meningkatkan hubungan logistik antarabangsa. Perkara ini turut termasuk dalam komitmen pelaburan kami di Kedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN