Keputusan Kit Siang tak tanding PRU15 muktamad - Utusan Malaysia

Keputusan Kit Siang tak tanding PRU15 muktamad

HASNI Mohammad (kanan) mendakwa Lim Kit Siang akan tetap bertanding dalam PRU15 tetapi kali ini memilih kerusi Parlimen Bakri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan veteran DAP, Lim Kit Siang tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah muktamad.

Justeru, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang juga anak Kit Siang berkata, dakwaan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad bahawa bapanya akan membuat pusingan ‘U’ dan bertanding adalah tidak benar.

Beliau mencabar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu supaya menunjukkan bukti jika benar Kit Siang menarik semula keputusan tidak lagi terlibat dalam kancah politik tanah air.

“Ini hanya suatu pembohongan daripada bekas Menteri Besar. Kenyataan beliau sudah tidak lagi relevan dan cuba menangguk di air keruh. Hasni cuba menegakkan benang yang basah jadi tidak mengapalah.

“Sekarang Hasni sudah tiada apa-apa jawatan lagi, sebab itu beliau cuba memfitnah ayah saya. Beliau hanya ‘mencangkung’ di tepi jalan. Kalau beliau mempunyai bukti, silalah tunjuk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Hasni mendakwa Kit Siang bakal melakukan pusingan U dengan tetap bertanding dalam pilihan raya ketika beliau sudah mengumumkan tidak lagi berbuat demikian.

Hasni mendakwa, Kit Siang tidak akan mempertahan kerusi Parlimen Iskandar Puteri sebaliknya menjadi calon bagi kerusi Parlimen Bakri yang kini disandang Yeo Bee Yin.

Semasa Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Mac lalu, Kit Siang mengumumkan bersara dalam politik dan tidak akan mempertahan kerusi Parlimen disandangnya pada pilihan raya akan datang.

Kata Guan Eng, pemimpin-pemimpin DAP termasuk Bee Yin pasti memberi laluan kepada kepada bapanya jika merancang bertanding kerusi Parlimen malah tidak menganggapnya sebagai masalah.

Namun bekas Setiausaha Agung DAP itu menegaskan, bapanya tetap dengan keputusan untuk bersara selepas hampir 60 tahun dalam politik dan menjadi sebahagian daripada pemimpin yang mengasaskan parti sejak 1966.

“Jika Kit Siang mahu bertanding mana-mana kerusi pun tentu diberi laluan, tapi beliau telah nyatakan akan bersara dan tetap dengan keputusan ini,” katanya.

Sementara itu, Syahredzan Johan yang merupakan Setiausaha Politik kepada Kit Siang turut terkejut dengan dakwaan Hasni yang disifatkannya sebagai ‘muncul secara tiba-tiba’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN