fbpx

Kenyir: Penduduk Terengganu tidak perlu panik 

HANAFIAH (dua dari kanan) mengiringi Siti Zailah menyampaikan Anugerah Tokoh Sayyidatina Aishah kepada penceramah bebas Ustazah Asma Harun di Kuala Nerus, Terengganu

KUALA NERUS : Orang ramai khususnya penduduk Terengganu tidak perlu panik dengan kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenai  kemungkinan  Empangan Kenyir di Hulu Terengganu dekat sini pecah pada musim Monsun Timur Laut kali ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kenyataan itu hanyalah ramalan Nadma berdasarkan jangkaan berlaku hujan terlalu lebat pada musim tersebut.

Menurutnya, limpahan air keluar dari empangan itu dijangka dalam jumlah yang banyak berbanding pada musim hujan sebelum ini.

“Bagaimanapun, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula menyatakan Empangan Kenyir masih berada dalam keadaan selamat.

“Jadi, janganlah kita terlalu panik dengan ramalan itu, kita semua mendoakan dan mengadakan sembahyang hajat agar ia tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Sayyidatina Aishah dan pelancaran Dasar Wanita Terengganu di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan  oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff di sini,  hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata, walaupun teknologi mengatakan empangan tidak akan pecah, namun persiapan menghadapi sebarang kemungkinan tetap perlu dilakukan.

Beliau mengambil contoh kejadian empangan pecah yang berlaku di China dan Afrika sebelum ini dan berharap semua agensi termasuk anggota komuniti peka dan bersedia terhadap risiko bencana empangan tersebut.

Kenyataan itu bagaimanapun telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk Terengganu terutama di laman sosial kerana bimbang impak banjir yang teruk sekiranya empangan buatan terbesar manusia di Asia Tenggara tersebut pecah.

Mengulas mengenai kerisauan rakyat tersebut, Hanafiah berkata, kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi dari segi bekalan makanan dan perubatan termasuk mewujudkan hospital-hospital sementara di semua lapan daerah di Terengganu. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN