SUNGAI PETANI: Keluarga pelajar berusia 15 tahun yang maut kemalangan awal pagi ini meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana boleh mengguris perasaan mereka yang sedang bersedih.
Abang sulung mangsa, Mohamad Najeb Hakim Roslan, 23, berkata, kejadian yang menimpa adiknya, Nur Iman Hakim itu sebenarnya berlaku semasa dia dalam perjalanan menghantar seorang rakan di Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Ketika kejadian motosikal Honda EX5 adik saya kehabisan minyak dan sedang ditunda oleh sebuah motosikal milik rakannya.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah motosikal yang tidak diketahui telah melanggar motosikal adik lalu dia hilang kawalan dan merempuh motosikal ditunggang beberapa orang rakannya yang lain,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) hari ini.
Kata Mohamad Najeb, dia mendapat tahu kejadian itu daripada salah seorang rakan adiknya yang sedang menerima rawatan di HSAH akibat cedera dalam kejadian itu.
Menurut Mohamad Najeb, adiknya telah meminta kebenaran ibu, Rosnani Abu Hassan, 43, dan bapa mereka, Roslan Razali, 50, sebelum keluar dari rumah mereka di Kampung Kota Bukit, Jeneri kira-kira pukul 1 pagi.
“Ketika itu saya berada di rumah dan terdengar adik memaklumkan dia ingin menghantar kawannya di Kepala Batas bersama beberapa rakan mereka yang lain.
“Dia menunggang motosikal yang dibeli oleh bapa untuk memudahkannya berulang alik ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeneri, berdekatan rumah kami,” katanya.
Menurut Mohamad Najeb, mereka sekeluarga mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh pihak polis kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Katanya, sebaik berita itu diketahui umum, dia kesal kerana melihat pelbagai persepsi buruk diperkata orang ramai berkaitan kemalangan membabitkan adiknya itu.
“Saya berharap warganet khususnya menghentikan penyebaran berita tidak benar yang membabitkan adik saya di laman media sosial kerana ia boleh mengguris perasaan kami sekeluarga.
“Walau pun kami reda dengan kematiannya tetapi biarlah ia tidak membabitkan persepsi buruk daripada orang ramai, tambahan lagi ketika kami bersedih kehilangan orang tersayang sekarang ini,” katanya yang bekerja sebagai operator sebuah kilang di Gurun.
Dalam kejadian pada pukul 2.35 pagi ini, Nur Iman Hakim maut di lokasi kejadian bersama seorang lagi rakannya apabila motosikal yang ditunggang mereka dari arah utara ke selatan berlanggar sesama sendiri akibat hilang kawalan kerana dipercayai ditunggang laju.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lima lagi penunggang turut cedera dalam kejadian di Kilometer 102.2 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sungai Petani itu dan kini sedang diberikan rawatan lanjut di HSAH. – UTUSAN