KUALA LANGAT: Seorang kanak-kanak menemui ajal selepas terjatuh atas meja kopi jenis kaca dekat rumahnya dalam satu kejadian di Kampung Bukit Changgang, Banting, kira-kira pukul 4 petang, Jumaat lalu.
Akibat daripada kejadian tersebut, dada kanak-kanak berusia tujuh tahun itu tertusuk serpihan kaca sebelum dikejarkan ke Hospital Banting.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat. Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata, ketika kejadian, kanak-kanak lelaki itu sedang bermain di atas sofa di rumahnya sebelum terjatuh menimpa meja berkenaan.
“Semasa kejadian berlaku mangsa dikatakan sedang bermain seorang diri manakala ibu bapa mangsa turut berada di dalam rumah. Ibu bapa mangsa menyatakan mangsa melompat di atas sofa rumahnya dan jatuh di atas meja kaca di hadapan sofa.
“Kejadian tersebut mengakibatkan dada mangsa terkena serpihan kaca dan telah dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Banting,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Jelas beliau lagi, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dan bedah siasat akan dijalankan oleh pihak hospital bagi mengetahui punca kematian.
Tambah Ahmad Ridhwan, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN