TUMPAT: Seorang kakak dari Kampung Naga Ibu di sini merayu kerjasama orang ramai agar mengesan adiknya, Siti Zaleha, 24, yang menghilangkan diri sejak lima hari lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hafisah Ismail@ Jismal, 35, berkata, kehilangan itu disedari sekitar pukul 7 malam apabila adiknya tidak pulang ke rumah selepas keluar pada 31 Ogos lalu.
“Selepas 30 minit adik tidak pulang ke rumah, saya dan ahli keluarga lain terus keluar mencarinya di kawasan kampung namun gagal ditemukan.
“Semasa keluar dari rumah, Siti Zaleha tidak membawa dokumen diri dan telefon. Selepas tempoh 24 jam, keluarga kemudian telah membuat laporan polis berhubung kehilangan Siti Zaleha,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Hafisah memberitahu, semalam keluarga ada menerima maklumat daripada orang ramai yang memberitahu ternampak Siti Zaleha di Nilai, Negeri Sembilan.
Katanya, sebaik sahaja menerima perkhabaran itu, ibu dan ayah terus bergegas ke Nilai untuk menjejaki Siti Zaleha.
“Adik sudah berhenti kerja dua minggu lepas disebabkan masalah peribadi di tempat kerja dan dibawa pulang ke kampung,” katanya.
Orang siapa yang mempunyai maklumat berkait dengan Siti Zaleha boleh menghubunginya talian 011-17977613 atau 013-9474167. – UTUSAN