JPN Melaka, PIBG diarah cari kaedah pantau pelajar elak diculik

JPN, PIBG diarah cari kaedah pantau pelajar elak diculik

RAIS Yasin meletakkan tangan di papan elektronik merasmikan Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diarah mencari kaedah terbaik memantau keselamatan pelajar sekolah bagi mengelak daripada berlakunya kes penculikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Komunikasi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, langkah itu perlu dilakukan berikutan kejadian penculikan dalam kalangan pelajar kini heboh dilaporkan berlaku di beberapa buah negeri.

Menurutnya, walaupun tiada sebarang laporan mengenai penculikan itu di Melaka, namun usaha meningkatkan keselamatan di sekolah wajar segera dilakukan.

“Saya akan berjumpa JPN dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negeri ini bagi membincangkan apakah kaedah paling sesuai untuk dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pelajar.

“Mungkin kita boleh usulkan satu kerjasama melibatkan JPN, sekolah dan PIBG untuk mengetatkan lagi kawalan keselamatan pelajar di sekolah-sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, penglibatan PIBG dalam isu berkenaan penting berikutan wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai keselamatan anak mereka.

Katanya, pihak sekolah perlu sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PIBG bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Menurutnya, satu mesyuarat penyelarasan antara JPN dan PIBG akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan kaedah terbaik.

“Mesyuarat berkenaan perlu diadakan untuk melihat, mungkin ada sesetengah sekolah telah membuat langkah keselamatan mengikut kesesuaian mereka yang berbeza-beza dengan setiap sekolah.

“Kita kena tahu, kalau tutup pintu ataupun kita buka satu pintu sahaja, tetapi kadang-kadang takut ibu bapa susah hendak ambil anak-anak selepas waktu sekolah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN