TAPAH: Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya diberi peluang untuk kembali memerintah selepas pelbagai kegagalan semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, rakyat sudah merasai keperitan selama 22 bulan ketika PH menjadi kerajaan dan parti itu wajar ditolak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah percaya rakyat terutama orang Melayu akan menolak PH pada PRU15.
“Rakyat sudah melihat selama 22 bulan macam mana mereka menderita. Saya percaya orang Melayu sendiri tidak akan bagi undi kepada PH selagi ada DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Jentera PRU15 BN Parlimen Tapah di Arena Merdeka Tapah, di sini hari ini.
Menurutnya, berikutan kegagalan PH mentadbir negara, kini rakyat menyedari hanya BN dan UMNO yang mampu membela nasib mereka.
“Ini jelas terlihat apabila BN menang pilihan raya di negeri Johor dan Melaka, bermakna rakyat khususnya orang Melayu sudah kembali percaya kepada BN,” katanya.
Sementara itu, Saravanan berkata, beliau belum menerima watikah sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Tapah pada PRU15.
Katanya, ini bermakna selagi itu belum tentu beliau menjadi calon di sini.
“Selagi belum ada watikah, kita bukanlah calon termasuklah saya. Saya tidak boleh kata saya calon selagi saya belum terima watikah.
“Tetapi apa yang penting bukan individu, kita perlu sedia menghadapi pilihan raya dan memastikan BN menang,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan sebagai calon juga bergantung kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Jadi saya nasihatkan kepada semua ahli-ahli parti termasuk ahli-ahli BN, kita tak perlu fikir tentang calon sekarang. Kita fikir bagaimana kita boleh memerintah negara,” katanya. – UTUSAN