KANGAR: Raja Muda Perlis mengingatkan ibu bapa dan penjaga perlu lebih prihatin termasuk meneliti kesahihan tawaran kerja dari luar negara yang diterima oleh anak masing-masing bagi mengelak ditipu.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ini ekoran ramai rakyat negara ini menjadi mangsa penipuan sindiket pekerjaan di luar negara.
Oleh itu baginda berharap ibu bapa sentiasa beringat supaya anak-anak tidak menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara yang menyasar kepada golongan muda.
“Perkara tersebut perlu diambil perhatian memandangkan kes penipuan kerja di luar negara semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga pihak kerajaan melalui Kedutaan Besar atau Pejabat Konsulat terpaksa campur tangan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang tertipu.
“Pastikan bahawa tawaran kerja itu adalah telus, tidak mencurigakan dan tiada unsur penipuan serta memastikan tawaran kerja yang diberikan itu adalah logik dari segi gaji dan elaun termasuklah aspek-aspek kebajikan, ” titah baginda.
Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs sebanyak RM1,000 kepada Masjid Mirasuddeen yang terletak di Soi 20 Silom Road, Bangkok, Thailand.
Baginda berkenan menunaikan solat di masjid tersebut ketika singgah di ibu negara Gajah Putih itu sebelum pulang ke tanah air. – UTUSAN










