fbpx

Hari tanpa bayang dijangka 23 September

AISHAH Sakinah Sazali, 32, mengambil gambar ketika fenomena ekuinoks iaitu hari tanpa bayang susulan matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa di Putrajaya pada 28 Mac lalu. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang merasai pengalaman Ekuinoks iaitu ‘hari tanpa bayang’ apabila matahari berada tepat atas garisan Khatulistiwa pada 23 September ini.

Pada hari itu, seluruh dunia menghadapi tempoh siang dan malam yang sama panjang iaitu masing-masing genap 12 jam siang serta malam.

Terdapat dua musim yang mana Ekuinoks berlaku iaitu musim bunga pada Mac lalu dan musim luruh yang berlaku September ini.

Ekuinoks turut menandakan perubahan musim iaitu bermulanya musim bunga di hemisfera utara bumi manakala di hemisfera selatan pula sebaliknya bertukar mengalami musim luruh.

Ketika fenomena tersebut, matahari berada tepat di atas kepala setiap orang dengan bayang kepala dan badan jatuh ke tapak kaki menyebabkan ia seumpama tiada bayang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Tuan Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca dijangka bertambah baik mulai esok setelah beberapa hari tidak menentu.

Katanya, buat masa sekarang tiada amaran banjir atau laut bergelora yang diramal dalam tempoh seminggu akan datang, namun rakyat diminta untuk merujuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk maklumat terkini.

Fenomena ekuinoks yang berlaku pada 28 Mac lalu menyaksikan warga kota Kuala Lumpur, Putrajaya serta Petaling Jaya dan Kajang di Selangor mengalami pengalaman itu pada pukul 1.19 tengah hari manakala Shah Alam, Klang dan Pelabuhan Klang lewat seminit.

Penduduk Sarawak terutaman di Betong, Sri Aman dan Serian selain Kukup di Johor kumpulan paling awal merasai kejadian unik tersebut pada 23 Mac lalu.

Ini diikuti Kuching, Lundu dan Bau di Sarawak serta Johor Bahru dan Pontian Kechil di Johor pada 24 Mac selain beberapa lagi lokasi di Sarawak dan Johor pada pada 25 Mac. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN