Hakim tarik diri dengar rayuan saman Azeez terhadap Guan Eng

Hakim tarik diri daripada dengar rayuan saman Abdul Azeez terhadap Guan Eng

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar rayuan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kes samannya terhadap Lim Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang mengetuai panel tiga hakim bersidang hari ini memaklumkan, beliau menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana mempunyai kaitan dengan pihak-pihak dalam saman berkenaan ketika bertindak sebagai pengamal undang-undang.

Hakim berkenaan memohon maaf kerana memaklumkan perkara itu sejurus mahkamah mula bersidang sambil menjelaskan beliau hanya menyedari perkara itu ketika membaca dokumen rayuan semalam.

Sehubungan itu, beliau menangguhkan rayuan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Rayuan itu akan didengar oleh hakim lain yang akan mengetuai panel bersidang.

Panel hari ini turut dianggotai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Seri Mariana Yahya.

Abdul Azeez selaku perayu diwakili oleh peguam-peguam Porres Royan dan Craig Ho manakala N. Mureli dan Philips Lim mewakili Guan Eng selaku responden.

Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Abdul Azeez terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 10 Disember 2020 yang menolak saman fitnah beliau terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung projek terowong dasar laut di negeri itu.

Timbalan Pendaftar L. Umma Devi yang membacakan keputusan itu dalam kamar bagi pihak Hakim Datuk Rosilah Yop turut memerintahkan bekas Pengerusi Tabung Haji itu membayar kos RM50,000 kepada Guan Eng.

Pihak media ketika itu dimaklumkan, saman tersebut ditolak atas alasan Abdul Azeez gagal mengemukakan bukti dalam tuntutan samannya.

LIM GUAN ENG

Abdul Azeez memfailkan saman fitnah terhadap Guan Eng pada 2018, yang mendakwa bekas Menteri Kewangan itu mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah pada sidang media di Pulau Pinang pada 28 Februari 2018, ketika Guan Eng masih memegang jawatan Ketua Menteri.

Dalam samannya, Abdul Azeez selaku plaintif mendakwa Guan Eng mengaitkan beliau dengan bayaran berjumlah RM3 juta sebagai bayaran perundingan kepada pemaju bagi projek itu.

Beliau mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar-akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.

Plaintif mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan itu telah menyebabkan beliau mengalami kerosakan yang amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam.

Sehubungan itu, Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ahli Parlimen Baling itu turut memohon suatu perintah untuk menghalang penerbitan semula kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu serta permintaan maaf awam di dalam akhbar dan media elektronik tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya