KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berfikir secara radikal melaksanakan pelan adaptasi iklim dan bukan hanya berfikir untuk melurus, melebar dan mendalam (3M) sahaja, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Katanya, tanpa pelan adaptasi iklim yang radikal negara ini tidak boleh melepaskan diri sepenuhnya daripada kesan cuaca ekstrem.
Kata beliau, apa yang perlu dilaksanakan adalah menyediakan perumahan, kota-kota dan pembangunan yang kalis bencana, kalis banjir, semampunya.
“Ubah keutamaan kita secara radikal kepada penyelesaian yang boleh diterima akal dan penting. Ia satu-satunya perkara yang perlu dilakukan.
“Kalau kita hanya fikir untuk melurus, melebar dan mendalam (3M) sahaja, berapa banyak yang kita boleh lakukan,” katanya.
Nurul Izzah berkata demikian pada majlis Reimagining Malaysia’s Future di KLPAC semalam.
Di Selangor kata beliau, selepas berlaku kejadian banjir besar di Selangor, Shah Alam kerajaan negeri telah memperkenalkan Sponge City atau Bandar Span.
Malah katanya, pihak kerajaan negeri Selangor turut menubuhkan Jawatankuasa Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor (IKLIMSELANGOR) bagi membantu dalam merancang, melaksana dan memantau program serta projek selain membincangkan dan mencadangjan penyelesaian kepada isu semasa yang berkaitan dengan perubahan iklim.’
Sementara Think City di Pulau Pinang pula telah berjaya mendapatkan pembiayaan AS$10 million (RM44 million) bagi menangani gelombang haba dan banjir.
“Selangor telah mengorak langkah mewujudkan jawatankuasa, melaksanakan Sponge City. Pulau Pinang dengan dana adaptasinya. Bagaimana dengan seluruh Malaysia,” tanya beliau
Nurul Izzah menjelaskan perkara itu memerlukan perhatian kerana golongan yang sering terkesan daripada perubahan cuaca ini serta berkemungkinan akan terjejas adalah kumpulan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“Jangan takut fikir secara radikal, kalau kita hanya fikir untuk melurus, melebar dan mendalam (3M) sahaja, berapa banyak yang kita boleh lakukan. Kesan daripada krisis ini lebih negatif kepada kumpulan B40 dan M40.
“Ini kerana mereka tinggal di kawasan rendah berbanding kumpulan T20 yang tinggal di kawasan yang lebih tinggi dan selesa walaupun ada beberapa pengecualian.
“Penting untuk kita faham, akhirnya warga yang lebih miskin dan berpendapatan rendah, mereka lebih terkesan dan jurang ini semakin bertambah,” katanya.
Menjelaskan perihal banjir, Nurul Izzah berkata, beliau telah membangkitkan bahaya banjir musim tengkujuh pada sidang Parlimen Jun lalu dan amat bimbang akan bahaya pola perubahan cuaca yang ekstrem.
“Fenomena La Nina pula akan membawa banjir besar pada November ini melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Selangor,” katanya.
Tambah Nurul izzah, Malaysia juga kini berada dalam ancaman cuaca panas yang juga menjadi penyumbang utama tekanan dalam kalangan pekerja negara ini.
“Yang dinamakan sebagai cabaran utama pekerja di Malaysia adalah tekanan haba. 32 darjah Celsius adalah standard antarabangsa bagi mengukur tekanan kepanasan. Apa sahaja melangkau kadar itu boleh mengakibatkan risiko kesihatan lanjutan.
“Di Lembah Klang, pada 1971 hanya 176 hari lebih panas dari 32 darjah celsius tetapi 2020, lebih 80 peratus dari keseluruhan tahun. Kita mungkin berada di rumah tetapi bagi pekerja yang perlu bekerja seperti mereka di barisan hadapan, mereka berhadapan dengan tekanan itu.
“Akhirnya ini ditambah pula dengan kadar hujan yang bertambah di beberapa kawasan di Malaysia, dengan kedua-dua krisis ini, kita dapat lihat pada 17 Disember tahun lalu, negara dilanda hujan lebat dengan taburan hujan sebulan tapi jatuh dalam sehari,” ujarnya. – UTUSAN