NILAI: Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-65, Komuniti Golfer Melayu Malaysia (KGMM) turut tidak ketinggalan memeriahkan sambutannya dengan menganjurkan satu kejohanan golf dikenali KGMM Golf Negaraku Challenge.
Kejohanan edisi ke-8 kali ini yang disertai 140 pemain dari seluruh negara berlangsung penuh meriah dengan semangat kemerdekaan di Kelab Golf Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan, semalam.
Sebelum acara bermula, para peserta diberi taklimat kejohanan disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku, Jalur Gemilang dan Tanggal 31 Ogos (nyanyian Allahyarham Sudirman) bagi memberi semangat kemerdekaan kepada semua peserta.
Presiden KGMM, Safian Abdullah berkata, selain menyemai rasa cinta kepada tanah air, kejohanan itu juga bertujuan menilai kemampuan pemain yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“KGMM menyasarkan sekurang-kurangnya seorang pemain daripada komuniti ini dapat bertanding ke peringkat lebih tinggi, mungkin dapat mewakili Malaysia ke Sukan SEA atau dalam kejohanan-kejohanan peringkat Asia atau Eropah,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan. – UTUSAN