Elaun sara hidup pelajar tajaan MARA dinaikkan - PM

Elaun sara hidup pelajar MARA dinaikkan – PM

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga dari kiri) bergambar bersama para pelajar ketika hadir pada program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di Institut Jerman-Malaysia (GMI), Bandar Baru Bangi, hari ini. - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Seramai 62,998 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di institusi pendidikan di dalam dan luar negara menerima ‘durian runtuh’ apabila kerajaan bersetuju menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) mereka bermula bulan ini.

Berita baik itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di German Malaysia Institute (GMI) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menaikkan kadar ESH baharu bagi pelajar dalam negara bermula minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah dan profesional.

Katanya, bagi pelajar luar negara pula, kadar ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan profesional.

“Kenaikan ESH kepada pelajar tajaan MARA ini bakal melibatkan seramai 62,998 orang berkuat kuasa bulan ini.

“Saya yakin kenaikan ESH ini amat wajar dan bertepatan bagi membantu meringankan beban pelajar Keluarga Malaysia berikutan peningkatan perbelanjaan sara hidup yang dihadapi,” katanya.

Katanya, kenaikan kadar ini membuktikan kerajaan dan MARA begitu prihatin serta serius dalam agenda pemerkasaan Bumiputera, terutama pelajar yang menjadi tulang belakang dalam pembangunan negara.

Jelasnya lagi, beliau berharap seluruh pelajar Keluarga Malaysia dapat merancang dan menguruskan sebaiknya ESH ini supaya aspek pembelajaran mereka berjalan lancar.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keluhan pelajar dalam dan luar negara tajaan MARA, dan bagi mengurangkan beban kos sara hidup mereka.

Katanya, ESH pelajar sedia ada dan baharu yang mengikuti pengajian dalam negara akan diselaraskan bersesuaian dengan peningkatan kos dan inflasi serta keperluan pelajar.

“Berdasarkan tinjauan JPA-MARA ‘Special Operation’ pada bulan Februari lalu dengan menumpukan kepada kehidupan di kota utama seperti London, Bristol dan Edinburgh, lebih 60 peratus pelajar tajaan MARA dan JPA yang majoritinya golongan B40 didapati terbeban dengan perbelanjaan harian.

“Sebagai contoh, purata perbelanjaan sebulan untuk bayaran sewa rumah dan bil utiliti di kota-kota utama berjumlah sekitar £500 (RM2,733) hingga £730 (RM3,990) iaitu perbelanjaan antara 60 hingga 70 peratus daripada elaun yang diterima setiap pelajar.

“Untuk makluman, elaun sara hidup pelajar MARA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seperti di London ialah sebanyak £1,045 (RM5,712) jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan UK iaitu sebanyak £1,312 (RM7,172) setakat bulan September 2021,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN