Ekonomi: Semua pihak perlu bertanggungjawab

Ekonomi: Semua pihak perlu bertanggungjawab

AZLAN Man (tengah) beramah mesra dengan penduduk pada Sambutan Hari Sungai Sedunia di Kampung Kebun, Arau, Perlis, hari ini. - FOTO/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Semua pihak khususnya wakil rakyat perlu bertanggungjawab dan bukan hanya meletakkan sebarang kesalahan kepada pemimpin yang memegang jawatan sahaja.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, tindakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal menguruskan ekonomi adalah tidak wajar.

Menurut Azlan, sekiranya dakwaan Muhyiddin itu benar, setiap wakil rakyat dalam kerajaan perlu mengambil tanggungjawab atas perkembangan yang berlaku itu.

“Setiap wakil-wakil rakyat itu bertanggungjawab atas kerajaan yang dibentuknya dan saya tak pasti sama ada betul atau tidak dakwaan (ekonomi merosot) tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Program Sambutan Hari Sungai Sedunia di Kampung Kebun, di sini hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin menyuarakan kebimbangan terhadap situasi ekonomi negara selain mendakwa Perdana Menteri tidak memandang isu tersebut sebagai sesuatu yang penting.

Namun begitu, Ismail Sabri menegaskan bahawa sekiranya beliau didakwa gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik, maka kegagalan tersebut turut melibatkan MPN.

Dalam pada itu, Azlan berkata, berdasarkan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua, ekonomi negara mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus dan merupakan antara yang tertinggi di rantau ini.

“Kalau sekiranya negara mencatatkan pertumbuhan positif, bagaimana pula kita boleh mengatakan Malaysia mengalami kelembapan ekonomi. Pastinya ada data dan fakta yang menyokong kadar pertumbuhan ekonomi negara ini,” katanya.

Tambah Azlan, beliau tidak menafikan mata wang negara sememangnya semakin menurun berbanding Dolar Amerika namun setiap pihak perlu melihat perkembangan itu dari sudut positif.

“Keadaan ini menjadikan barangan eksport kita lebih kompetitif dan murah kerana mendapat permintaan tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN