Dua pelajar sekolah, kelindan ditahan bantu siasatan kes rogol dan liwat - Utusan Malaysia

Dua pelajar sekolah, kelindan ditahan bantu siasatan kes rogol dan liwat

remaja bawah umur
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua pelajar sekolah menengah dan seorang kelindan lori ditahan bagi membantu siasatan berkait kes rogol dan liwat di daerah ini.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan itu berusia antara 17 hingga 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, penahanan kesemua suspek itu susulan laporan yang diterima pihaknya berkait kes berkenaan pada 2 dan 3 September lalu.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu dua daripada kejadian tersebut berlaku di kawasan sekolah yang sama dengan melibatkan mangsa dan suspek yang berbeza.

“Untuk kes melibatkan kelindan lori, ia berlaku di sebuah rumah di kawasan Lundang. Berdasarkan siasatan yang dijalankan, polis mendapati kejadian itu dilakukan secara sukarela bersama pasangan kekasih masing-masing.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd. Rosdi memberitahu, dua pelajar sekolah tersebut direman selama tujuh hari bermula 3 September lalu.

Katanya, kelindan lori pula direman lima hari bermula 5 September.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN