GUA MUSANG: Seorang buruh dari kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini, gigih mengerah kudrat mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan perubatan tiga anaknya yang menghidap penyakit berlainan.
Tiga anak Mohd. Azura@Azri Mat Rusof, 38, iaitu Ifti Fatihah, 15, menghidap penyakit tiroid, Aysha Farha, 6, (Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau radang sendi) dan Amaira Faiha yang berusia tiga bulan mengalami masalah tekanan darah rendah.
Mohd. Azura berkata, disebabkan penyakit itu, ketiga-tiga anaknya perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital selain penjagaan rapi.
Menurutnya, Ifti Fatihah mula dikesan menghidap tiroid ketika berusia 11 tahun manakala Aysha Farha pula disahkan menghidap SLE kira-kira tiga bulan lalu.
“Anak bongsu kami, Amaira Faiha pula disahkan mengalami tekanan darah rendah sejak dilahirkan. Saya mengakui keluarga kami tidak cukup sumber kewangan kerana pendapatan bekerja sebagai buruh kampung tidak menentu.
“Sejujurnya pendapatan bulan saya bergantung kepada jumlah kerja. Kalau banyak kerja yang saya buat, maka dapatlah rezeki lebih,” katanya.
Mohd. Azura berkata, dia bersyukur kerana jiran dan penduduk kampung sentiasa prihatin dan memberi sedekah kepada keluarganya.
Katanya, sumbangan itu digunakan olehnya dan isteri untuk menampung kos perubatan anak ketiga.
“Ketika ini, kami kerap berulang ke Hospital Selayang untuk membuat rawatan anak yang mengidap penyakit SLE,” ujarnya. Orang ramai yang ingin membantu memberi sumbangan boleh menghubungi Mohd. Azura di talian 01112154259 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 03005-41-00005280-5. – UTUSAN