Beban tugas guru halang transformasi pendidikan - Utusan Malaysia

Beban tugas guru halang transformasi pendidikan

Guru dan kakitangan membersihkan dewan sekolah yang terjejas akibat banjir untuk persediaan pelajar menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang, Terengganu, pada Mac lalu. – GAMBAR HIASAN/ PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengumuman pertambahan bilangan hari bercuti tahunan kepada guru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu disambut begitu gembira oleh guru. Pengumuman ini sekali gus membuktikan kerajaan prihatin dengan kesejahteraan dan kebajikan guru-guru.
Sejak pandemik melanda negara, antara isu kesejahteraan guru yang paling banyak dibincangkan adalah isu beban tugas berlebihan. Sebenarnya, isu beban tugas guru ini bukanlah perkara baharu. Pada 5 Januari 2005, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pendidikan telah memaklumkan akan mencari formula bagi mengurangkan beban tugas guru.
Seterusnya pada 2019, Jawatankuasa Mengkaji Dasar Pendidikan yang ditubuhkan oleh Dr. Mazlee Malik juga telah meneliti isu beban tugas guru. Jawatankuasa ini berjaya menghasilkan sebu­ah laporan komprehensif de­ngan beberapa cadangan pe­nyelesaian berkaitan isu beban tugas guru. Malangnya tidak dapat dilaksanakan apabila ke­pimpinan Kementerian Pen­didikan (KPM) bertukar tangan.
Seterusnya pada 2022, KPM melaksanakan kajian berkaitan beban tugas guru sehingga ramai guru bersara awal. Sehingga kini, hasil kajian ini masih belum dibentangkan. Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin di dalam beberapa wawancara bersama media menafikan guru sedang terbeban sebaliknya menegaskan isu beban tugas guru wujud disebabkan oleh kelemahan sistem.
Sebaliknya, kajian-kajian ilmiah yang telah dilakukan secara berterusan oleh para pengkaji pendidikan menunjukkan isu beban guru berlebihan memang berlaku dalam sistem pendidikan negara kita sehinggakan ramai antara mereka tertekan dan tidak bermotivasi dengan tugas mereka sebagai guru.
Sebagai contoh, kajian oleh Abdull Sukor Shaari, Abd. Rahim Romle dan Mohamad Yazi Kerya bertajuk Beban Tugas Guru Sekolah Rendah mendapati secara purata seorang guru menggunakan 64.1 jam seminggu untuk menyelesaikan beban tugas mereka. Sejumlah 39.5 jam (61.3 peratus) daripadanya digunakan untuk urusan akademik manakala 24.6 jam (38.7 peratus) pula untuk urusan bukan akademik.
Menurut pengkaji, jumlah keseluruhan masa digunakan guru sebenarnya melebihi masa rasmi sekolah malah sebenarnya melebihi masa kerja penjawat awam sektor perkhidmatan lain. Malah melebihi resolusi Persidangan Pertubuhan Buruh sedunia (ILO) yang menetapkan jam bekerja seminggu adalah sebanyak 48 jam.
Kajian lain oleh Mohd. Saufi Abdul Rahman bertajuk Beban Tugas Guru dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah pula mengesahkan apabila guru diberikan bebanan tugas berlebihan ia akan memberikan tekanan psikologi dan motivasi mereka merosot. Jika diteliti, terdapat dua bentuk beban tugas guru di negara ini. Pertama, beban tugas akademik. Tugas akademik terbahagi kepada dua kategori iaitu tugas rutin harian dan tugas bermusim.
Antara termasuk dalam tugas rutin harian adalah mengajar subjek opsyen dan bukan opsyen, menyediakan rekod mengajar harian, menyediakan bahan bantu mengajar, membuat persediaan mengajar, memeriksa buku nota, pentaksiran bilik darjah, latihan serta kerja rumah murid. Tugas akademik bermusim pula adalah menyediakan soalan ujian bulanan, ujian penggal, memeriksa kertas ujian, mengajar kelas tambahan dan merekodkan markah murid.
Selain beban tugas akademik, beban tugas bukan akademik juga terbahagi kepada dua iaitu rutin harian dan bermusim. Antara beban bukan akademik rutin harian adalah mencatat kehadiran pelajar setiap hari, menyelia dan mencatat rekod rancangan makanan tambahan (RMT), merancang dan menyediakan aktiviti kokurikulum seperti kelab sukan dan persatuan murid. Guru juga perlu mengemaskinikan rekod profil murid, memastikan kebersihan dan keceriaan kelas. Selain itu, guru juga perlu menjayakan program yang diarahkan seperti TS25, Sekolahku Sejahtera dan pelbagai program lain. Semua aktiviti ini perlu diuruskan yang ada masanya mengambil cuti hujung minggu ataupun sebelah petang selepas sesi persekolahan berakhir.
Sementara tugas bukan akademik bermusim pula termasuklah menutup daftar kedatangan murid, menghubungi ibu bapa, menyediakan resit bayaran yuran, menguruskan pinjaman dan pemulangan buku teks, jurulatih sukan untuk pertandingan luar sekolah, jurulatih bagi setiap aktiviti berbentuk pertandingan, menguruskan hari sukan, menguruskan hari khas seperti Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Kantin dan Sambutan Hari Tahunan dan Penyampaian Hadiah. Selain itu, guru juga dilantik sebagai guru kantin, guru koperasi, guru aset dan guru PIBG.
Apa yang menjadi isu adalah beban tanggungjawab bukan akademik yang tidak berkaitan dengan aktiviti pembelajaran dan kokurikulum murid. Inilah yang menjadi isu kepada guru dalam melaksanakan tanggungjawab mereka secara berkualiti kerana banyak masa mereka terpaksa digunakan untuk memenuhi arahan yang berkaitan dengan bukan akademik dan pentadbiran. Maka masa yang ada pada mereka untuk tujuan pengajaran dan pengurusan aktiviti akan berkurangan.
Kita sudah pun dapat melihat kesan jangka pendek daripada beban tugas guru yang melampau ini apabila lebih daripada 10,000 guru dilaporkan bersara lebih awal.
Walaupun kita boleh me­lantik guru baru bagi meng­gantikan guru bersara awal, satu perkara yang tidak boleh diabaikan adalah kita telah kehilangan guru berpengalaman dan berkemahiran tinggi. Selain isu guru bersara awal, terdapat juga laporan berkaitan guru mengalami tekanan emosi, kemurungan dan tidak mempunyai motivasi meneruskan perkhidmatan disebabkan beban tugas berlebihan ini.
Isu beban tugas guru yang berlebihan adalah kritikal. KPM perlu ada solusi untuk menyelesaikannya. Tiga perkara yang boleh dilakukan membantu meringankan beban tugas guru. Pertama, menggubal dan mewartakan secara rasmi Dokumen Standard Garis Panduan dan Spesifikasi Tugasan Guru.
Kedua, menyegerakan pelantikan pembantu guru bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Ketiga, meningkatkan keberkesanan sistem termasuk sistem pelaporan pentaksiran murid dan sistem pengumpulan data lain.
Keempat, menyediakan dasar tidak mewujudkan pelbagai program ad hoc bukan akademik yang baharu, sebaliknya memperkasakan program sedia ada. Jika isu beban tugas guru tidak diselesaikan segera, kesan buruknya pasti akan dialami oleh murid-murid.

Dr. Anuar Ahmad ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya