TASEK GELUGOR: Sanggup mengeluarkan belanja yang tinggi hingga mencecah RM7,000 untuk diserahkan kepada ejen demi mendapatkan sekeping kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Itu yang dilakukan sebahagian etnik Rohingya yang ditahan dalam satu operasi oleh Jabatan Imigresen negeri berhampiran sebuah tapak projek perumahan, di sini malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sehubungan itu isu tersebut akan dibawa ke peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk disiasat dan diteliti secara lebih mendalam sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Pemegang kad UNHCR warga Rohingya ini membuat pengakuan masuk ke Malaysia melalui sempadan-sempadan negara iaitu Kedah dan Kelantan dari Thailand, malah mereka mengaku ia (masuk ke Malaysia) juga diuruskan oleh ejen. Selain itu, mereka turut mengakui ejen-ejen tersebut bertanggungjawab menguruskan perjalanan mereka ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur untuk proses mendapatkan kad berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Mengulas mengenai operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) itu pula, Khairul Dzaimee berkata, seramai 36 pekerja asing diperiksa dan 25 daripadanya dikesan masuk ke negara ini tanpa memiliki dokumen sah, tinggal lebih masa selain mempunyai dokumen meragukan khususnya pemegang kad UNHCR yang dipercayai tidak tulen.
Katanya, daripada 25 orang yang ditahan itu, 10 merupakan warga Bangladesh, lapan warga Indonesia, seorang warga Nepal serta enam warga Myanmar termasuk seorang wanita.
“Kesemua mereka dibawa ke pejabat Imigresen negeri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama,” katanya yang memberitahu, operasi tersebut bermula kira-kira pukul 11.15 malam.
Dalam pada itu kata beliau, sebanyak 261 operasi memburu PATI secara keseluruhannya berjaya dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen negeri sepanjang tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 193 PATI dan 32 majikan ditahan dengan sebahagian daripada mereka juga telah didakwa.
“Walaupun jumlah penahanan ini (operasi malam tadi) tidak ramai, namun jumlah kompaun yang dikenakan terhadap mereka agak tinggi iaitu lebih daripada RM2.5 juta,” katanya. – UTUSAN