Bas KLIA setanding Heathrow akhir tahun ini

Bas KLIA setanding Heathrow akhir tahun ini

MODEL bas KLIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Para penumpang destinasi luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bakal merasai pengalaman bas ulang-alik setanding imej negara maju.

Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood, sejumlah enam buah kenderaan baharu itu bakal digunakan dalam masa terdekat.

“Dua daripadanya akan tiba pada November depan manakala baki empat lagi akan menyertai armada bas KLIA menjelang Februari 2023 kelak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau membentangkan perkembangan terkini Program Penggantian Aerotrain KLIA yang turut dihadiri sendiri oleh Pengerusi MAHB, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir.

Ia susulan pengumuman MAHB pada 27 Disember lalu berhubung penukaran Penggerak Penumpang Automatik (APM) atau Aerotrain susulan tren lama sering kali berdepan masalah.

Tren baharu tersebut akan mula beroperasi menjelang 13 Mac 2025 menggunakan model 300R keluaran firma ALSTOM dengan muatan 270 penumpang.

Bagaimanapun, sementara projek berkenaan disiapkan sepenuhnya, MAHB turut menaik taraf perkhidmatan sistem bas ulang aliknya antara Terminal Utama dan Bangunan Satelit KLIA.

Mengulas lebih lanjut, Iskandar Mizal berkata, bas baharu itu lebih besar dengan kapasiti 110 orang penumpang iaitu dua kali ganda berbanding muatan untuk bas lama yang sedia ada.

“Bas model baharu ini menyerupai reka bentuk standard yang kelaziman dapat dilihat kita di kebanyakan lapangan terbang negara-negara maju seperti Heathrow, London,” jelas beliau.

Selain lebih lebar, luas dan mampu belok pada selekoh tajam, bas itu ujarnya turut dilengkapi dengan jaringan Wifi dalaman, paparan digital serta kamera litar tertutup untuk keselamatan.

Beliau menaruh keyakinan bahawa bas baharu itu memang direka agar mesra penumpang termasuk dari kalangan pengguna orang kurang upaya, warga emas dan wanita mengandung.

Kenderaan tersebut akan beroperasi 24 jam setiap hari sama seperti operasi bas yang sedia ada dengan tempoh bagi menunggu ketika waktu puncak adalah kurang daripada satu minit.

Dalam pada itu, Zambry ketika mengulas prospek KLIA menjangkakan terminal udara tersebut akan mula mencecah kapasiti operasi penuh penumpang menjelang suku keempat tahun ini.

Situasi positif berkenaan ujar beliau, banyak disumbangkan pergerakan penumpang domestik susulan kelonggaran prosedur operasi standard dalam fasa peralihan pandemik Covid-19.

“MAHB sudah bersedia dan kita mengunjurkan lonjakan penumpang antarabangsa juga akan naik mendadak pada akhir tahun ini apabila banyak negara membuka sempadan,” tambahnya.

Operator tersebut yang ditubuhkan kerajaan pada 1991 lalu ketika ini mengendalikan operasi 39 buah lapangan terbang di Malaysia dan sebuah terminal antarabangsa di Istanbul, Turkiye.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya