Bapa pelakon direman lagi didakwa ugut, pukul

Bapa pelakon direman lagi didakwa ugut, pukul

KU MASHARIMAN KU MAHMOOD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Petaling Jaya mengesahkan telah menahan reman bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan dan memukul ibu pelakon itu.

Penahanan reman ke atas lelaki berusia 43 tahun itu diperoleh tiga hari bermula hari ini sehingga 20 September ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, penahanan ini dilakukan selepas suspek ditahan oleh Polis Klang Utara sebelum ini.

“Selepas itu, suspek dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan kes ugut dan pukul ibu pelakon itu,” katanya di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya di perkarangan IPD Klang Utara, pada pukul 4.10 petang semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Pada 12 September lalu, media melaporkan bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan itu dirujuk ke IPD Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim dipetik berkata, mangsa membuat laporan itu pada 8 September lalu.

Sebelum ini, media melaporkan suspek berkenaan ditahan pada 6 September lalu atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anaknya.

Suspek ditahan di kediamannya di Kedah dan polis turut merampas telefon bimbit suspek dan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

Baru-baru ini, pelakon itu menerusi satu temu bual di laman YouTube, mendedahkan sikap buruk bapanya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN