fbpx

Banjir: Lebih 10 juta rakyat bakal terkesan

BANJIR boleh berlaku dalam keadaan tidak dijangka kesan daripada keadaan cuaca yang tidak menentu.

PETALING JAYA: Lebih 10 juta daripada 33 juta penduduk negara ini terutama yang tinggal di Pantai Timur dijangka terkesan dengan bencana banjir yang diramal melanda mulai November ini hingga awal tahun depan.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), taburan hujan yang tinggi akan melanda beberapa negeri pantai timur sekali gus memberi kesan kepada sebahagian populasinya seperti Kelantan yang mempunyai penduduk seramai 1.8 juta orang, Terengganu (1.2 juta orang), Pahang (1.6 juta orang) selain di timur Johor (4 juta keseluruhan) dan barat Sarawak (2.5 juta keseluruhan).

Selain itu, terdapat kemungkinan banjir turut melanda pantai barat Semenanjung iaitu Kuala Lumpur yang mempunyai populasi penduduk seramai 1.9 juta orang, Selangor (7 juta keseluruhan) dan Kedah (2.2 juta total).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadim), Roslan Ab. Ghani berkata, jangkaan itu kerana pihaknya mendapati Malaysia sedang berdepan dengan kesan perubahan iklim ketika ini.

“Kita dapati suasana dan cuaca negara sentiasa dalam keadaan tidak menentu, ia di luar jangka menyebabkan bencana boleh berlaku di luar kawasan dan luar musim.

“Sebab itu, ada kawasan yang tak pernah kena banjir selama ini, sekarang kena. Jadi, semua pihak perlu bersiap sedia terutama di peringkat daerah dengan memperkasa komuniti masing-masing dan memastikan adanya pusat pemindahan berhampiran. Banjir bukan lagi macam dulu, kita perlu bersedia sepanjang masa,” katanya ketika dihubungi.

Hujung tahun lalu, bencana banjir memberi kesan kepada lapan buah negeri dengan lebih 70,000 kehilangan tempat tinggal serta mencatatkan kerugian kira-kira RM6.1 bilion.

Menurut data Jabatan Perangkaan, kerugian itu meliputi kerosakan infrastruktur dan aset awam (RM2 bilion), tempat tinggal (RM1.6 bilion), kende­raan (RM1 bilion), pembuatan (RM0.9 bilion), premis perniagaan (RM500 juta) dan pertanian (RM90.6 juta).

Sejak banjir tersebut, beberapa kawasan di negara ini dilanda pelbagai jenis bencana antaranya kepala air di Jerai, kepala air Gunung Inas di Baling dan beberapa banjir kilat melanda Lembah Klang.

Roslan berkata, pihaknya menumpukan kepada pelbagai program seperti program evakuasi, program bantuan dan program komuniti di pelbagai kawasan di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Yayasan Petronas.

“Sepanjang tahun ini, kita dah buat program di Hulu Terengganu, Cameron Highlands (Pahang), Jerai dan Baling (Kedah) bersama pejabat daerah ma­sing-masing bagi memperkasa komuniti di kawasan tersebut. Kita juga adakan program bencana di Tumpat dan Su­ngai Kelantan serta di Pekan, Pahang,” katanya.

Jelasnya, setiap program bencana dijalankan menggunakan modul latihan yang dibangunkan oleh pusat penyelidikan di UTM selain bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak kerajaan-kerajaan negeri turut terlibat sama.

“Setakat ini, kita sudah melatih lebih 1,000 komuniti bagi persiapan banjir yang turut melibatkan wanita, murid-murid sekolah dan orang kurang upaya (OKU).

“Dengan program ini, setiap peserta dapat mengembangkan pengalaman dalam soal pengurusan banjir dan boleh menggunakannya untuk mengajar orang lain,” katanya.

Katanya, program persiapan menghadapi bencana akan diteruskan di Cameron Highlands, Terengganu dan Kedah pada bulan hadapan. – UTUSAN

INFO

Kerugian banjir 2021 (RM6.1 bilion)
Kerosakan infrastruktur dan aset awam (RM2 bilion)
Tempat tinggal (RM1.6 bilion)
Kenderaan (RM1 bilion)
Industri pembuatan (RM0.9 bilion)
Premis perniagaan (RM500 juta)
Industri pertanian (RM90.6 juta)

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN