Bajet 2023: Pertahanan perlu 1.5 peratus daripada KDNK - Utusan Malaysia

Bajet 2023: Pertahanan perlu 1.5 peratus daripada KDNK

AFFENDI Buang (dua kiri) melawat ruang pameran selepas merasmikan Persidangan Perubatan Ketenteraan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pertahanan negara dalam Bajet 2023 perlu ditambah sekurang-kurangnya 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, jumlah itu penting bagi memastikan segala aspek pertahanan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan selain satu bentuk pelaburan dan pembangunan pertahanan pada masa depan.

“Melalui koordinasi dengan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berharap Bajet 2023 untuk pertahanan dapat dipertingkatkan berbanding RM15.42 bilion pada tahun lalu yang telah dipecahkan kepada Perbelanjaan Mengurus (OE) sebanyak RM10.47 bilion dan Perbelanjaan Pembangunan (DE) sebanyak RM4.95 bilion.

“Justeru, tambahan peruntukan bajet diperlukan ATM bagi menangani keusangan dan permodenan ATM yang sekali gus akan meningkatkan kesiagaan ATM ke tahap yang tinggi pada masa ini dan hadapan,” katanya dalam Wawancara Khas Media sempena Hari Ulangtahun ATM Ke-89 semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Perubatan Ketenteraan 2022 (MMMC 22) di Wisma Perwira.

Tambah Affendi, Malaysia dalam masa yang sama perlu menjadikan Indonesia sebagai contoh bagi membangunkan industri pertahanan negara.

“Untuk menentukan industri ini dapat berkembang dan membangun, apa yang mereka buat, fokus untuk keperluan pengguna termasuk angkatan tentera negara sendiri. Jadi saya percaya jika kita ada peruntukan kewangan yang baik kita juga mampu berkembang sebagaimana mereka,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata, dua buah kapal tempur pesisir (LCS) yang tertangguh sebelum ini dijangka siap pada Januari dan September 2026.

Menurutnya, pembinaan kapal-kapal berkenaan telah bermula awal September melibatkan mobilisasi peralatan daripada pengilang peralatan asli (OEM) dan subkontraktor tempatan.

“Kabinet pada April lalu telah membuat keputusan untuk meneruskan projek LCS kerana ia aset yang sangat diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memastikan kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan maritim negara sentiasa terpelihara.

“Berdasarkan perancangan, kapal pertama dijangka diserahkan kepada TLDM pada Januari 2026, kapal kedua pada September 2026, kapal ketiga pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028 dan kapal kelima pada September 2028,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya