PETALING JAYA: Jika sebelum ini Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan beliau masih Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia), sebaliknya Pejabat Perdana Menteri pula mengesahkan Ahli Parlimen Pengerang itu telah menghantar surat peletakan jawatan pada 29 Ogos lalu.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob telah menerima perletakan jawatan itu dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.
“Datuk Seri Azalina Othman Said telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia), Jabatan Perdana Menteri bertarikh 29 Ogos 2022.
“Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau, namun dalam tempoh itu, beliau tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September.
“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat,” kata kenyataan itu hari ini.
Azalina sebelum ini mengesahkan bahawa beliau masih berkhidmat sebagai Penasihat Undang-undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri sekali gus menafikan beberapa laporan yang mengatakannya menyerahkan surat perletakan jawatan.
Berita perletakan jawatan itu timbul ekoran tindakan Azalina sewaktu menyampaikan ucapannya dalam Taklimat Presiden UMNO minggu lalu menyentuh beberapa isu mengenai kuasa yang ada pada Perdana Menteri terhadap pelantikan Peguam Negara hingga mengundang kritikan pelbagai pihak. – UTUSAN