Api-Api River Cruise tarikan pelancongan baharu di Perlis

Api-Api River Cruise tarikan pelancongan baharu di Perlis

PENGUNJUNG kelihatan teruja bagi mencuba perkhidmatan Api-Api River Cruise yang mula beroperasi pada minggu ini dengan menyajikan pemandangan indah di Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Meskipun baharu dilancarkan minggu ini, namun perkhidmatan Api-Api River Cruise di Kampung Bukit Tok Poh, Kuala Perlis di sini mendapat sambutan hebat dalam kalangan pelancong ke negeri ini.

Menariknya, perkhidmatan yang disediakan itu memberi peluang kepada pengunjung untuk menelusuri Sungai Perlis dengan disajikan pemandangan indah seperti paya bakau, pokok nipah, Bukit Batu Buaya, Bukit Lambung Panah yang bersejarah, perkampungan nelayan dan banyak lagi sekali gus menjanjikan pengalaman berharga kepada para pengunjung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penyelaras Perkhidmatan Api-Api River Cruise, Muhammad Fauzi Akmal Mohd Noor Azizi berkata, terdapat dua pakej disediakan kepada pengunjung yang ingin menggunakan perkhidmatan itu dengan harga tiket RM12 bagi dewasa dan RM10 buat kanak-kanak.

“Pakej pertama ialah kita membawa pengunjung menelusuri Sungai Perlis ke muara Kuala Perlis sekitar Masjid Al Hussin dengan jarak perjalanan sekitar 30 minit bagi melihat keindahan matahari terbenam.

“Bagi pakej kedua pula, kita menawarkan perjalanan dari Jeti Api-Api di sini ke Pusat Rekreasi Taman Sakura sekitar Tok Kuning dengan disajikan pemandangan alam sekitar yang indah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tarikan baharu itu, Muhammad Fauzi berkata, idea bagi menyediakan perkhidmatan itu adalah merupakan cetusan daripada pemilik Restoran Api-Api Ikan Bakar, Hamidon Abdul Hamid yang berhasrat menjadikan kawasan berkenaan sebagai hub pelancongan di negeri ini.

Katanya, walaupun baru beroperasi, namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan khususnya daripada pengunjung luar.

“Dengan adanya perkhidmatan ini, ia dapat menjadi tarikan baharu baharu buat pelancong bagi melihat keindahan alam semula jadi di Perlis,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, perkhidmatan tersebut memulakan operasi pada pukul 3 hingga 7 petang setiap hari dan boleh membawa sehingga 12 orang penumpang pada satu masa.

Menurutnya, pengunjung boleh membeli tiket secara terus di kaunter atau membuat tempahan dengan lebih awal sekiranya datang secara berkumpulan.

“Buat masa ini kita hanya mempunyai sebuah bot untuk membawa penumpang dan akan ada lagi penambahan dalam masa terdekat bagi memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya