Anak penyu agar berkepala dua ditemukan di Tanjong Jara Resort

Anak penyu agar berkepala dua ditemukan di Tanjong Jara Resort

KEADAAN anak penyu agar berkepala dua yang ditemukan di pusat penetasan penyu di Tanjong Jara Resort, Dungun, Terengganu. - FOTO/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Sekumpulan sukarelawan di pusat penetasan penyu di Tanjong Jara Resort di sini, terkejut apabila menemukan seekor anak penyu agar berkepala dua pada Selasa lalu.

Pengurus Projek Konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort, Abidah Zaaba berkata, dia bersama beberapa lagi sukarelawan menemukan penyu yang dipercayai menetas tiga hingga lima hari sebelum itu ketika sedang melakukan pemeriksaan sarang kira-kira pukul 11 pagi. 

“Sarang tersebut mempunyai 110 biji telur dan hanya 89 biji telur yang menetas termasuk penyu yang berkepala dua ini.

“Pada awalnya, kita ternampak badan dan kepala penyu di celah-celah pasir yang cuba keluar dari sarang. Kami ingat ia macam penyu biasa namun, agak terkejut bila keluar seluruh anggota badan, rupa-rupanya anak penyu tersebut mempunyai dua kepala,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat penetasan penyu tersebut, petang semalam. 

Abidah berkata, ia adalah penemuan pertama anak penyu berkepala dua yang hidup di pusat penetasan tersebut sejak mula dibuka pada 2016. 

“Pada Jun tahun lepas, kami turut menemui anak penyu berkepala dua yang telah mati daripada sebiji telur penyu agar yang tidak berjaya menetas. 

“Kali ini, alhamdulillah kami jumpa penyu dua kepala yang hidup dan ia adalah kejadian yang jarang berlaku,” katanya. 

Menurutnya, berikutan tidak mempunyai kelengkapan dan kepakaran menguruskan anak penyu tersebut, dia telah menyerahkan reptilia marin tersebut kepada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Rantau Abang.

“Kita harap penyu ini akan bertahan dan hidup lebih lama sebab lazimnya, haiwan yang berkepala dua jangka hayatnya pendek kerana sukar untuk diselaraskan pergerakannya bila mempunyai satu badan, tetapi dua kepala,” katanya. 

Berkongsi cerita, Abidah berkata,  daripada 21 biji telur yang tidak menetas dari sarang yang sama, dia turut menemui sebiji telur yang mempunyai sepasang anak penyu kembar yang mati. 

“Kita telah mengawet anak penyu kembar tersebut untuk tujuan pameran dan pembelajaran di sini,” katanya. 

Menurutnya, bermula Januari lalu sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 278 sarang penyu telah diselamatkan dan lebih 20,000 telur penyu dan tuntung laut telah dieramkan di pusat penetasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya