Amanah yakin mampu luas pengaruh di Pantai Timur - Mat Sabu

Amanah yakin mampu luas pengaruh di Pantai Timur – Mat Sabu

MOHAMAD Sabu sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan Konvensyen Nasional 2022 Amanah di Seremban hari ini. - FOTO/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mampu meluaskan pengaruh parti itu di negeri-negeri Pantai Timur terutama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Sehubungan itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, kepemimpinan dan ahli-ahli parti itu di Kelantan, Terengganu dan Pahang diminta untuk tidak patah semangat kerana yakin pengaruh Amanah mampu berkembang di kawasan tersebut.

“Politiknya begini, dahulu pembangkang di Pantai Timur, di sini (Pantai Barat) hilang wang pertaruhan, sekarang (pembangkang) beralih ke Pantai barat.

“Pantai Timur jangan putus asa, sampai ketikanya nanti di sana akan berkembang juga, itu perkara biasa berdasarkan pengalaman saya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penangguhan Konvensyen Nasional 2022 Amanah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Mohamad berkata, Amanah akan membincangkan mengenai strategi dari sesama ke semasa untuk memenangi kerusi di tiga buah negeri berkenaan termasuk meletakkan calon yang hebat bagi memberikan saingan.

“Akan berbincang dari semasa ke semasa, macam kelantan ada pergolakan, ada suasana rakyat memang tidak berpuas hari pada pemerintahan di sana.

“Di Terengganu, Pas agak kuat namun cabaran dari lawan juga kuat, UMNO juga memberikan cabaran, kami akan berusaha letak calon yang hebat di sana,” kata beliau lagi.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, semasa dalam ucapannya juga berkata, Amanah mengakui menghadapi kesukaran ketika ini untuk mengembangkan pengaruh parti itu di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

“Rakan-rakan yang memikul menjadi ahli dan pemimpin Amanah di sana mempunyai jiwa yang kuat untuk menghadapi suasana di sekeliling.

“Bersabar sebentar, insya-Allah, saya yakin, dengan kerajinan dan kehebatan kepemimpinan, keadaan lara itu sementara sahaja, akan berlaku kegembiraan tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun Amanah dijangka akan bertanding lebih banyak kerusi pada PRU15 akan datang, apa yang lebih penting jumlah kemenangan juga perlu bertambah iaitu lebih daripada 11 buah kerusi Parlimen yang dimenangi ketika ini.

“Kami bukan hanya mahu lebih (kerusi) tetapi mahu semangat untuk menang banyak lebih daripada 11 (kerusi) itu harapan kami,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberitahu, jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi parti itu pada PRU15 akan bertambah sehingga 50 kerusi termasuk 45 buah kerusi di Semenanjung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN