KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) mahu kerajaan meneruskan pemberian subsidi haji bagi menampung kenaikan kos mengerjakan Rukun Islam kelima.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) menyebabkan perbelanjaan jemaah haji dari negara ini semakin meningkat.
“Masalah ini sangat penting kerana ia menyebabkan bayaran tambang dan penginapan di hotel-hotel di Mekah menjadi lebih mahal bagi jemaah dari negara ini.
“Perlu dijelaskan bahawa harga bayaran penginapan hotel di Mekah tidak berubah tetapi ia menjadi lebih mahal kerana nilai RM jatuh dengan dahsyat. Kerana itu subsidi kepada jemaah haji perlu diteruskan,” katanya ditemui selepas Majlis Fundraising Jamuan Laksa Menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di sini semalam.
Ahli Parlimen Kota Raja itu memberitahu, Pakatan Harapan (PH) akan turut melaksanakan usaha meneruskan subsidi kepada jemaah haji terutama dari kalangan kurang berkemampuan sekiranya berjaya mengambil alih pemerintahan negara selepas PRU15.
Katanya, PH mahu membawa Tabung Haji ke landasan betul sepertimana ketika ia ditubuhkan oleh Profesor Diraja Allahyarham Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.
“Kita menjadikan perkara ini (haji) sebagai salah satu keutamaan,” ujarnya. – UTUSAN










