GERIK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah membuat sebarang kenyataan berkenaan parti secara bersendirian.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang kenyataan dan keputusan yang dikeluar dan diumumkan oleh presiden parti telah mendapat kelulusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
“(Saya) Selaku pengerusi negeri (UMNO Perak), Datuk Seri Ahmad Zahid tidak pernah membuat keputusan bersendirian dan ini saya boleh sahkan. Jadi saya nafikan kalau ada orang kata itu pendapat Presiden semata-mata,” katanya kepada pemberita pada Program Mesra Menteri Besar Perak di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan RPS Kemar dekat sini, semalam.

SAARANI Mohamad (tengah) bersama penduduk pada Program Mesra di RPS Kemar, Gerik semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Menurut Saarani, sebelum sebarang keputusan dan kenyataan berkaitan parti dibuat, Presiden UMNO itu akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara berkenaan.
Katanya, selepas itu, kesemua lima pimpinan tertinggi parti iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat sebelum dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik seterusnya ke MKT UMNO.
“Pengalaman saya kalau hendak buat mesyuarat MKT (UMNO), sebelum mesyuarat MKT, ada satu mesyuarat jawatankuasa Biro Politik. Yang hadir adalah presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden, ketua wanita, ketua pemuda, ketua puteri, ketua penerangan, bendahari dan semua pengerusi perhubungan negeri termasuk saya.
“Itu amalannya, jadi bagaimana dikatakan kalau beliau (Ahmad Zahid) sebut itu (kenyataan berkaitan parti) sebagai pendirian beliau seorang,” katanya.

ABDUL Hadi Awang berucap pada Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 di MAEPS Serdang, hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Saarani mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kenyataan Ahmad Zahid menolak kerjasama bersama Pas dalam PRU15 tidak mewakili pendirian parti itu secara keseluruhan dan bukan keputusan sepenuhnya UMNO.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan UMNO membuat keputusan untuk bergerak solo meskipun Pas mahu mempertahan Muafakat Nasional (MN). – UTUSAN