Ahli kongsi gelap miliki senjata ditahan - Utusan Malaysia

Ahli kongsi gelap miliki senjata ditahan

MOHD. Radzi Ahmad menunjukkan pelbagai senjata termasuk sepucuk pistol yang dirampas daripada seorang suspek dipercayai ahli kongsi gelap dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Polis merampas sepucuk pistol dan senjata tajam dalam kenderaan milik seorang ahli kongsi gelap di kawasan perindustrian Mak Mandin, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, suspek yang berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) selepas kereta jenis Toyota Vios dipandunya dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 7.30 malam.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan sepucuk pistol jenis Zoraki dan satu kelopak berisi empat butir peluru di bahagian kiri pinggang suspek. Selain itu, sebilah parang, kapak kecil, pisau lipat dan keris yang ditemukan di bahagian bawah tempat duduk pemandu turut dirampas.

“Kita turut menemukan dua peket lutsinar yang mengandungi serbuk jenis syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai kira-kira RM300,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki lima rekod lampau berkaitan jenayah dan turut dikehendaki kerana terbabit dalam kes merusuh dengan senjata.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pelabur wang kripto dan kita masih dalam proses mendapatkan maklumat terperinci mengenai pembabitannya dalam kongsi gelap. Suspek direman selama seminggu bermula hari ini sehingga 19 September depan,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN