PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yakin aliran perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Brunei boleh diperkukuh selain lebih banyak kerjasama ekonomi diterokai demi kepentingan bersama.
Keyakinan itu dizahirkan setelah Seri Paduka berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Brunei, London, United Kingdom semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, kedua-dua pemimpin itu menyentuh hubungan dua hala istimewa yang erat terjalin sekian lama dan usaha-usaha pengukuhan antara kedua-dua negara.
Katanya, Seri Paduka menzahirkan komitmen Malaysia mencapai hubungan dua hala lebih mendalam dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan dan pertahanan serta kerjasama ekonomi di Sabah dan Sarawak.
“Seri Paduka berpendapat bahawa program Konsultasi Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei adalah landasan penting bagi menjayakan usaha-usaha pengukuhan hubungan dua hala.
“Seri Paduka turut menzahirkan Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan Brunei berkenaan pembukaan sepenuhnya sempadan bermula pada 1 Ogos lalu.
“Ia memanfaatkan pergerakan rakyat kedua-dua negara, khususnya di Sarawak dan Sabah dan aktiviti-aktiviti ekonomi di sempadan kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi Istana Negara hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Sultan Hassanal kali terakhir melakukan pertemuan empat mata semasa Lawatan Negara Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar ke Brunei pada Ogos 2019. – UTUSAN