TANGGAL16 September 1933 merupakan detik yang amat bersejarah untuk rakyat Malaysia dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya. Ini kerana pada tarikh tersebut, negara menyambut dua peristiwa penting iaitu Hari Malaysia dan Hari ATM yang mana, kedua-duanya sangat signifikan terhadap penubuhan negara bertuah ini.
Hari ini, setelah 89 tahun mengharungi pelbagai fasa kepayahan dan keadaan tidak menentu, ATM tetap teguh mengota janji, melunaskan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan penuh iltizam bagi mengekalkan relevansi keabsahannya.
Justeru, tekad ATM adalah terus berkembang menjadi sebuah angkatan masa hadapan yang unggul dan terulung dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan pertiwi tercinta ini.
Aspirasi Peranan ATM
Sepanjang 89 tahun yang lalu, ATM telah berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Antara yang ketara adalah era penaklukan tentera Jepun, penentangan insurgensi komunis, konfrontasi Malaysia-Indonesia, pelbagai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pencerobohan tentera Sulu dan terkini menangani penularan pandemik Covid-19.
Jika diperhalusi, ATM telah melakukan beberapa pengubahsuaian terhadap fokus strategiknya dalam memastikan kelebihan operasi memihak kepada ATM dan strategi kebolehupayaan untuk beradaptasi ini akan terus menjadi penanda aras buat ATM.
Ini agar elemen keupayaan tempurnya dan daya tahan dapat diperkemaskan sesuai dengan ancaman dan cabaran yang mendatang. Kelebihan ini yang membolehkan ATM terus kekal relevan walaupun kini berusia 89 tahun.
Dalam masa sama, ATM turut menekankan aspek kesiagaan tertinggi sebagai matlamat utama yang semestinya menjadi pegangan segenap lapisan warganya.
Secara tidak langsung, ia telah menjana keupayaan warga ATM untuk melaksanakan setiap penugasan dengan penuh ikhlas, komited, berintegriti dan paling utamanya melangkau kepentingan diri sendiri.
Matlamat ini juga berjaya menggerakkan pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif dalam memastikan aset-aset usang ATM dapat terus melaksanakan fungsinya dengan selamat dan berkesan.
Inilah sumbangan ATM yang tidak seberapa dalam memastikan kesinambungan legasi dan tradisi organisasi serta lebih utamanya, buat rakyat majmuk di negara berdaulat ini untuk berpayung menikmati kesejahteraan dan keamanan pada setiap masa.

Persediaan menghadapi Ancaman Masa Hadapan
Menyedari potensi dan implikasi ancaman masa hadapan yang tidak berketentuan, ATM telah mengambil langkah proaktif dalam menstrukturkan semula Strategi Ketenteraan Negara agar ia selari dengan penghayatan masa hadapan yang diilhamkan oleh Kertas Putih Pertahanan.
Apatah lagi, peperangan di era teknologi yang serba maju dan canggih hari ini, kemungkinan untuk pertempuran secara bersemuka tidak lagi menjadi opsyen utama ketenteraan.
Strategi Peperangan Hibrid dilihat sebagai kaedah asimetri ampuh untuk melancarkan serangan secara subversif dengan mengaplikasikan penyusupan secara maya ataupun penggunaan proksi.

yang lebih kompleks.
Justeru, dalam mengawal dan mengekang ancaman sebegini, ATM telah melonjakkan fokus strateginya ke arah menumpukan lima teras iaitu kebersamaan, saling kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak di dua wilayah dan berorientasikan misi, yang mana teras-teras ini akan mampu mentransformasikan ATM menjadi sebuah angkatan masa hadapan yang bersifat memenuhi keperluan, berwibawa, praktikal serta rasional.
Transformasi ini amat penting jika ATM ingin terus berhadapan dengan ancaman-ancaman masa kini yang bukan sahaja kompleks, malah mampu menghasilkan kemusnahan yang amat dahsyat.
Tekanan yang dibawa oleh ketidaktentuan ancaman era ini juga menuntut ATM melakukan suatu anjakan pemikiran yang lebih tegas terhadap cara menanganinya agar mampu beroleh keputusan yang lebih optimum serta berketentuan.

ihsan bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan.
Sewajarnya, ATM menyebarluaskan ke pengetahuan umum berkaitan peranan dan kepentingan fungsinya agar dapat difahami oleh semua pihak sama ada kerajaan mahupun swasta dan pada masa sama ATM juga perlu memahami fungsi dan keperluan pihak-pihak yang lainnya.
Jika kebolehcapaian ini dapat dilaksana, konsep Pertahanan Menyeluruh (Comprehensive Security) yang melibatkan penggemblengan elemen seluruh kerajaan dan seluruh rakyat (WoGos) akan dapat diaturgerakkan sekali gus mampu menjayakan aspirasi Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama.

Kebajikan Warga dan Veteran
Di sebalik menumpukan fokus terhadap peranan dan pembangunan angkatan, ATM tidak pernah leka dan alpa untuk melihat kepada kebajikan warganya. Ini termasuklah para veteran ATM dan ahli keluarga.
Veteran ATM adalah pendukung kepada perjuangan yang diwarisi sekarang manakala keluarga segenap lapisan warga ATM merupakan faktor penentu yang mampu memberikan impak besar kepada kejayaan setiap perancangan yang dilakukan. Sudah tentunya jasa, pengorbanan dan keringat yang dicurahkan oleh sekalian mereka tidak akan disia-siakan.
Oleh yang demikian, ATM bersama Kementerian Pertahanan telah menjayakan pelbagai inisiatif khusus bagi memperkasakan kebajikan warga dan para veteran ATM secara keseluruhannya.
Antara inisiatif yang telah diusahakan kepada warga yang masih berkhidmat merangkumi penambahan infrastruktur demi keselesaan dan kesejahteraan hidup serta pembinaan kemahiran termasuklah kepada para isteri agar ia boleh dimanfaatkan setelah menamatkan perkhidmatan kelak.
Bagi para veteran ATM pula, agenda utama ATM dan Kementerian Pertahanan adalah untuk mengangkat martabat agar mereka dapat terus progresif menyumbangkan jasa, yang pada masa sama, mampu menjana pendapatan yang memberangsangkan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup serta berupaya menambahbaik kualiti hidup masing-masing.
Kesimpulannya, demikianlah hakikat dan aspirasi angkatan keramat ini yang ingin menekankan bahawa usia 89 tahun yang dilalui telah menjadikan ATM lebih mampan, matang dan berwawasan dalam memastikan keabsahannya terus kekal relevan.
Ini akan membolehkan ATM sentiasa berada di hadapan untuk menangani cabaran dan ancaman yang mendatang dengan lebih awal secara komprehensif, selari dengan jolokan ATM selaku ‘perisai negara’.

Dalam masa sama, sudah tiba masanya untuk segenap lapisan masyarakat dan rakyat Malaysia mengambil cakna perihal pertahanan menyeluruh agar dapat memastikan impak terbaik terhadap pelaksanaan tugas dan kebajikan warga ATM dan juga veteran ATM.
Semoga legasi dan tradisi terdahulu serta keupayaan yang bakal dibina pada masa kini akan menjadi pemangkin kejayaan untuk ATM sekaligus membolehkan kesinambungan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara pada masa akan datang.
Inilah janji yang kami ikrarkan! “Kedaulatan negara tanggungjawab bersama”! – UTUSAN