40 jutawan dilahirkan GiatMara sejak 1986

40 jutawan dilahirkan GiatMara sejak 1986

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra bersama penduduk kampung pada program Moh Ngeteh dan Kampungku Mahir anjuran bersama GiatMara di Kampung Kuala Triang di Bera, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Seramai 40 jutawan dilahirkan GiatMara sejak ditubuhkan pada 1986 sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam menjamin pekerjaan kepada setiap pesertanya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dianggarkan 80 peratus dari 400,000 peserta yang mengambil kursus di GiatMara memperoleh pekerjaan. 

“Saya hendak maklumkan di sini, sesiapa yang mengambil kurus bersama GiatMara ini 80 peratus daripada yang mengambil kursus itu dapat pekerjaan, terlibat dalam bidang perniagaan. 

“Maknanya, dari segi rekod GiatMara hasilnya memang bagus kerana apabila mereka keluar, bukan saja mereka boleh bekerja tetapi boleh menjalankan pekerjaan sendiri.

“Sejak ditubuhkan, tak silap saya 400,000 lebih telah pun dilatih dan ada 40 jutawan yang dihasil dan dilahirkan GiatMara,” katanya ketika berucap pada program Moh Ngeteh dan Kampungku Mahir anjuran bersama GiatMara di Kampung Kuala Triang, di sini hari ini. 

Selain Kampung Kuala Triang, program terbabit melibatkan penduduk Kampung Seberang Guai dan Kampung Imam Sulong serta sekitarnya.

Ismail Sabri berkata, mewakili tiga buah kampung terbabit, beliau berterima kasih kepada GiatMara kerana menganjurkan program Kampungku Mahir ini. 

“Di samping memberi perkhidmatan pendawaian di rumah dan servis motosikal secara percuma, ia turut menganjurkan kursus serta latihan kepada golongan pemuda di tiga kampung ini,” katanya.

Beliau berharap agar program seumpama itu dapat dikembangkan dan diperbanyak di kampung-kampung lain di daerah ini pada masa akan datang. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN