JOHOR BAHRU: Polis Johor merekodkan sejumlah 2.2 juta saman tertunggak membabitkan pelbagai kesalahan trafik di seluruh negeri ini sejak 2014 hingga kini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, daripada keseluruhan saman berkenaan, 109,758 saman adalah melibatkan pemandu warga Singapura.
Menurutnya, jumlah keseluruhan saman trafik melibatkan warga Singapura adalah 143,596, namun hanya 23.5 peratus telah dibayar hingga hari ini.
“Secara keseluruhan kita telah mengeluarkan 2.3 juta saman sejak 2014 hingga kini dan setakat ini hanya 600,000 saman sudah dijelaskan.
“Antara saman paling banyak adalah memandu laju melebihi had dan kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya dalam sidang akhbar pada pelepasan Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama-sama Brother Motor di Dataran Kawad, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Justeru, Kamarul Zaman menyeru semua pesalah trafik untuk memanfaatkan program pengurangan saman Polis Johor sebanyak 50 peratus bermula Jumaat ini hingga 2 Oktober depan.
Mengenai program konvoi berkenaan, Kamarul Zaman memaklumkan ia bertujuan untuk menyantuni, memberi nasihat dan beramah mesra dengan penunggang supaya menunggang dengan berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya. – UTUSAN